Usahawan, Datin Seri Nur Shahida tampil menjelaskan punca mengapa anak perempuannya, Qadejah El Zahra, tidak lagi muncul berlakon bersama Hadie, selepas ramai netizen mempersoalkan perkara itu di media sosial.
Menurut Shahida, keputusan itu dibuat selepas melihat anaknya mula tertekan dengan provokasi berterusan yang diterima setiap kali muncul di media sosial.
Advertisement
“Sebenarnya, terus terang kepada yang nak tahu, mama pun rasa dah tak syok jugalah sebab hari hari ada provokasi.
“Dia masih budak, jadi dia rasa macam tertekan, hari-hari ada provokasi, kita yang baca pun rasa tak syok,” katanya menerusi satu klip pendek yang tular di TikTok.
Tambah Shahida, provokasi yang datang bukan sahaja mengganggu anaknya, malah turut mengganggu emosi keluarga apabila ada yang menyindir dan mengecam secara keterlaluan, meskipun niat asal hanya untuk bergurau.
Malah Shahida turut menyifatkan komen-komen berunsur sindiran kepada Qadejah dan Hadie juga sebagai sesuatu yang tidak wajar.
“Kadang-kadang orang hantar dekat kita, macam bila buat live ada provokasi. Awak rasa macam bergurau tapi kita yang mendengar ini rasa tak syok lah.
“Mereka masih budak, tak sepatutnya pun. Sikit-sikit perlilah, kuda lah, senduk lah. Kesian lah dekat dia. Kita faham sebab dah biasa kena kena kecam.
“Tapi Qadejah dia bukan biasa, jadi tak mengapa lah, kalau ada rezeki ada,” ujarnya.
Sebelum ini, video pendek merakamkan Qadejah dan Hadie berlakon bagi mempromosikan resort milik bapa Qadejah iaitu Datuk Seri Aliff Syukri iaitu Sugeh Resort Janda Baik menjadi tular di media sosial.
 
 
     
 
                                       
                                       
                                       
                                      