Sekilas
- Datin Seri Nur Shahida berkongsi pengalaman rumah tangga bersama Datuk Seri Aliff Syukri yang sudah mencecah 19 tahun.
- Mereka mengakui sering bergaduh sehingga tidak bertegur sapa, namun tetap saling menerima dan menghargai satu sama lain.
- Pasangan ini dikurniakan enam cahaya mata dan menganggap asam garam dalam perkahwinan sebagai perkara biasa sepanjang bersama.
Isteri kepada usahawan sensasi Datuk Seri Aliff Syukri, Datin Seri Nur Shahida berkongsi sisi kehidupan rumah tangga mereka yang kini sudah mencecah usia 19 tahun.
Menerusi perkongsian di Threads, Shahida mengakui hubungannya dengan Aliff juga tidak terlepas daripada perselisihan faham sehingga ada ketikanya mereka memilih untuk tidak bertegur sapa.
“Kami kalau bergaduh memang tak bercakap. Mata itu kalau jeling boleh terkeluar biji mata, punya menyampah tengok muka.
“Tapi kalau tengah berbaik, kalah pasangan muda bercinta,” katanya dengan nada seloroh.
Menurut Shahida, situasi tersebut merupakan lumrah kehidupan berumah tangga yang dilalui mereka sepanjang hampir dua dekad bersama.
“Itulah asam garam dalam perkahwinan. Pejam celik, pejam celik dah 19 tahun usia perkahwinan Mama dengan Papa.
“Senang cakap, Mama inilah yang sanggup terima Papa seadanya,” selorohnya.
Untuk rekod, Shahida dan Aliff mendirikan rumah tangga pada Ogos 2007 dan dikurniakan enam cahaya mata iaitu Ammar Ahyan, Qadejah El Zahra, Ibraheem Adham, Yusoff Al Qardawi, Raudah Arshiyah dan Luqman Al-Hakim.
Sumber: Threads