Sekilas
- Sharif Kadir dari kumpulan Zero mengakui rindu untuk berkumpul semula dengan adik-beradiknya, Syaiful dan Atu, serta bersedia memohon maaf jika pernah mengguris hati Atu.
- Sharif menafikan isu wang sebagai punca konflik dan berkata dia sudah beberapa kali cuba berbaik dengan Atu tetapi tidak mendapat sambutan.
- Sharif berharap kemelut keluarga dapat diselesaikan dan berjanji akan mengumpulkan semua adik-beradik untuk makan bersama apabila keadaan sudah baik.
Anggota kumpulan Zero iaitu Sharif Kadir mengakui dirinya berasa rindu untuk berkumpul bertiga bersama dua lagi adik-beradiknya yang juga anggota kumpulan iaitu Syaiful dan Atu.
Menurut Sharif, dia bersedia menurunkan egonya dan memohon maaf kepada Atu sekiranya ada mengguriskan hati adiknya itu.
“Di hadapan orang ramai ini saya minta maaf ya Atu. Abang minta maaf. saya berharap agar kita (adik-beradik) kembali seperti dulu.
“Kalau dia anggap ini salah saya mungkin saya sudah terbongkar cerita mengenai dia tapi saya tak ada niat pun sebenarnya. Cuma itulah, perkara pun sudah berlaku.
“Saya terima saja kalau dia nak datang ke berjumpa dan kalau dia nak saya datang berjumpa dia pun saya okay,” katanya kepada Gempak.
Sharif berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di sidang media Havoc Raya Fest 2026 bertempat di Setia City Convention Centre, Setia Alam pada Isnin.
Ditanya mengenai usaha untuk berbaik, pemilik nama Sharif Kadir Doli Sharif ini tidak menafikan bahawa dia ada mencuba namun memberi bayangan seolah tidak disambut baik oleh Atu.
Malah, Sharif turut menafikan isu duit menjadi punca kepada kemelut yang berlaku.
“Yeke sebab isu duit? Yeke ada usaha dari pihak dia untuk berbaik? Berapa kali sudah saya ajak jumpa dia?
“Malah saya ada saja ajak dia untuk berjumpa dan berbincang. Orang yang kenal saya tahulah yang saya bukan jenis yang ego. Jadi, janganlah kata saya tak ada usaha,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sharif turut meluahkan rasa sedih dengan apa yang berlaku dan berharap agar kemelut tersebut dapat diselesaikan.
“Sebagai seorang abang, sudah tentu saya sedih malah saya tak jangka isu ini boleh jadi besar macam ini. Ibu tahu tentang hal ini tapi dia dah biasa sebab dia tahu kami akan okay juga satu hari nanti.
“Untuk hal keluarga ini, saya tak mahu komen lebih-lebih. Biarlah kami ‘settle’ tepi. Kalau dah okay nanti saya panggil semua beramai-ramai makan di rumah saya. Doakan yang baik-baik untuk adik-beradik serta keluarga saya.
“Saya rindu nak berkumpul dengan mereka. Sebelum ini kami ada saja berjumpa cuma biasalah tidak bertegur. Kami ada bermain bola sepak bersama-sama cuma biasalah gaduh adik-beradik, nanti kami selesaikan,” katanya.
Terdahulu, perkongsian Sharif mengenai kisah hidup Atu yang dikatakan hampir terjerumus dengan aktiviti penyalahgunaan dadah kerana salah pilih kawan dalam satu temu bual podcast dikatakan menjadi antara punca kepada konflik mereka.