Sekilas
- Sharifah Sakinah menegaskan ADHD tidak patut dijadikan alasan untuk menutup kelemahan atau tingkah laku kurang baik seseorang.
- Beliau menggalakkan individu dengan ADHD untuk melihat keadaan itu secara positif dan mendapatkan rawatan pakar jika gejala menjejaskan kehidupan harian.
- Sakinah juga berkongsi pengalamannya sebagai penghidap disleksia ringan dan ADHD yang disedari selepas tamat persekolahan.
Pelakon Sharifah Sakinah berpendapat bahawa gangguan hiperaktif dan masalah tumpuan (ADHD) tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menutup kelemahan atau perbuatan kurang baik seseorang.
Menerusi satu perkongsian di akaun Threads miliknya, Sakinah berkata, individu yang disahkan menghidap ADHD perlu melihat keadaan itu secara positif dan bukannya dijadikan ‘perisai’ untuk menghalalkan tingkah laku.
“Jangan jadikan ADHD sebagai alasan untuk tutup buruk sendiri.
“Kalau ada ADHD tetapi tidak menyakitkan anda, enjoy the ride, see things positively,” katanya.

Menurut pelakon drama Curang Tanpa Niat itu, mereka yang bergelut dengan gejala sehingga menjejaskan kehidupan harian disaran mendapatkan rawatan pakar segera.
“Kalau sakit, jumpalah doktor. Rehat dulu dari kerja atau stop feeding your cheap dopamine contoh ganja, alkohol atau street drugs, makan baring, social media,” jelasnya.
Sebelum ini, Sharifah Sakinah mendedahkan dia merupakan penghidap disleksia tahap ringan yang turut memiliki ciri-ciri Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) atau gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif.
Sakinah atau nama sebenarnya Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar, 30, dia menyedari perkara itu hanya selepas dia menamatkan persekolahan.
Sumber: Threads