Sekilas
- Sharnaaz Ahmad mengakui pernah mengalami kemurungan teruk selepas perceraiannya dengan Noor Nabila pada 2020.
- Dia melihat kejayaan filem Polis Evo 3 yang meraih kutipan RM58 juta sebagai hikmah di sebalik ujian yang dilaluinya.
- Sharnaaz menasihati orang ramai supaya tidak mudah berputus asa dan jadikan ujian sebagai pembakar semangat untuk bangkit.
Pelakon, Sharnaaz Ahmad mengakui pernah berdepan detik sukar selepas perceriannya dengan bekas isteri, Noor Nabila.
Menurut Sharnaaz atau nama lengkapnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, situasi itu memberi kesan besar terhadap emosinya sehingga dia mengalami kemurungan yang agak teruk.
Menerusi satu video yang tular di TikTok, Sharnaaz dalam masa yang sama berdendapat bahawa adanya hikmah disebalik setiap perkara yang berlaku apabila dia mendapat tawaran untuk menjayakan watak yang selama ini diidam-idamkannya menerusi filem Polis Evo 3.
“Ketika itu saya dalam proses penceraian. Saya sangat down. Saya boleh cakap saya dalam keadaan sangat murung. Kalau nak cakap saya merintih kesedihan dan stres, sangat teruk.
“Tapi ketika itu juga Allah itu adil. Dia akan bagi pada kita ujian dan hadiah. Hadiah itu apabila buat pertama kalinya saya dapat buat filem yang saya idamkan iaitu Polis Evo 3.
“Dalam pada yang sama juga saya dapat surat cerai. Bila saya bawa kemurungan itu dan terapkan dalam watak filem yang saya buat, perkara itu adalah punca yang menjayakan filem itu sampai boleh capai RM58 juta,” kongsinya.
Berkongsi lanjut, Sharnaaz juga percaya kejayaan filem Polis Evo 3 yang berjaya meraih kutipan RM58 juta menjadi antara hikmah di sebalik ujian yang dilaluinya.
Dalam masa yang sama, bapa kepada seorang anak ini turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah berputus asa apabila berdepan dugaan, sebaliknya melihat ujian yang dihadapi sebagai peluang untuk bangkit dalam kehidupan.
“Kalau Tuhan turunkan penyakit mesti dia bagi penawar.
“Kalau awak rasa tuhan sedang uji, ambil lah sebagai pembakar semangat untuk jadikan itu kejayaan baru yang awak sedang cari,” katanya lagi.
Untuk rekod, Sharnaaz pernah mendirikan rumah tangga bersama usahawan yang juga kakak kepada selebriti Neelofa iaitu Noor Nabila pada 31 Mac 2017 sebelum berpisah pada Julai 2020.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Jebat Jayden yang kini berusia lapan tahun.