Sekilas
- Shila Amzah berkongsi doa dan harapan agar ibu bapa anak istimewa dikurniakan rezeki berterusan dan kekuatan menghadapi cabaran.
- Beliau menegaskan kos pendidikan dan terapi anak autisme sering menjadi beban yang memerlukan kesabaran tinggi.
- Perkongsian Shila mendapat sokongan dan empati ramai yang turut berkongsi pengalaman membesarkan anak-anak istimewa.
Mempunyai anak autism, penyanyi Shila Amzah menitipkan doa buat semua ibu bapa yang membesarkan anak-anak istimewa agar dikurniakan rezeki yang berterusan serta kekuatan dalam menghadapi cabaran seharian.
Menerusi satu perkongsian di Threads, Shila berkongsi realiti penjagaan anak-anak istimewa yang menuntut komitmen tinggi, termasuk dari segi emosi dan kewangan.
Menurutnya, kos berkaitan pendidikan dan terapi sering kali membuatkan ibu bapa terpaksa menarik nafas panjang.
“Semoga Allah SWT gandakan rezeki yang tidak putus-putus terutamanya buat ibu bapa kepada anak-anak istimewa. Special need kids with special super power.
“Tengok bil sekolah, bil terapi memang tarik nafas panjang. Semoga Allah beri kekuatan dan kesabaran kepada kita semua juga,” tulisnya.
Perkongsian tersebut nyata menyentuh hati ramai wargamaya yang turut menitipkan doa serta berkongsi pengalaman masing-masing dalam membesarkan anak-anak istimewa.
Rata-rata meluahkan rasa empati dan sokongan, selain mengakui cabaran yang dihadapi memerlukan kesabaran serta kekuatan luar biasa.
Luahan ikhlas Shila ini bukan sahaja membuka mata masyarakat mengenai realiti ibu bapa kepada anak autisme, malah menjadi peringatan di sebalik setiap cabaran, terselit kasih sayang dan kekuatan yang tidak ternilai.
Sumber - Threads