Sempena sambutan Hari Malaysia tahun ini, pentas Showcase Jiwa Malaysia 2025 bakal menggegarkan Dewan Sri Putra, Bukit Jalil pada 1 November depan dengan barisan penyanyi terkenal tanah air seperti Sixth Sense, Def Gab C, Kugiran Masdo, Floor 88, Baby Shima dan Alpha.
Menurut penganjur, pemilihan barisan artis kali ini bertujuan meraikan kepelbagaian muzik Malaysia daripada genre pop, rock, balada, alternatif hingga dangdut yang mencerminkan keharmonian budaya negara.
Advertisement
Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Iliyas Jamil berkata, Dewan Sri Putra yang kini berwajah baharu tampil sebagai lokasi tumpuan pelbagai acara termasuk konsert, pameran, kejohanan sukan dan majlis korporat.
“Dewan ini kini mampu menampung sehingga 3,000 penonton serta dilengkapi kemudahan moden seperti sambungan internet berkelajuan tinggi, lantai khas sukan, serta ruang fleksibel untuk pelbagai acara,” katanya.
Transformasi ini sekali gus menjadikan Dewan Sri Putra sebagai pusat serbaguna yang menyokong perkembangan seni, sukan dan ekonomi kreatif negara.
Dianjurkan oleh Regnant Works dengan sokongan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Showcase Jiwa Malaysia bukan sekadar persembahan muzik, sebaliknya simbol kepada semangat Malaysia MADANI yang meraikan perpaduan dan keunikan masyarakat majmuk.
Tiket RM88, Dijangka Laris

Dengan harga tiket hanya RM88, peminat bukan sahaja berpeluang menyaksikan persembahan artis kegemaran, malah menikmati pengalaman seni Malaysia yang penuh warna.
Tiket mula dijual 30 September 2025 jam 5 petang di mytickets.asia dan dijangka habis dalam masa singkat. Orang ramai disarankan untuk membuat pembelian awal bagi mengelakkan kekecewaan.