Sekilas
- Shweta Sekhon menganggap watak Lisa dalam filem TERBANG sebagai antara peranan paling mencabar yang pernah dibawanya, terutamanya kerana ia berkait rapat dengan pengalaman kakaknya sendiri.
- Filem TERBANG mengisahkan tentang Lisa, seorang pelumba yang menjadi mekanik selepas kemalangan dan menghadapi ujian kanser, menampilkan perjalanan emosi yang mendalam bersama suaminya, Ajeet.
- TERBANG diinspirasikan daripada legenda rali Karamjit Singh dan kini ditayangkan di pawagam seluruh negara, termasuk dalam format 4DX.
Pelakon Shweta Sekhon mengakui watak Lisa dalam filem TERBANG antara karakter paling mencabar pernah dibawanya, apatah lagi perjalanan watak tersebut cukup dekat dengan pengalaman kakaknya sendiri.
Menurut Shweta, pengalaman membawakan Lisa membuatkannya lebih memahami perjuangan insan yang melalui cabaran kesihatan sama seperti kakaknya.
“Ini adalah salah satu watak paling mencabar bagi saya. Lisa adalah seorang yang sangat kuat.
“Inspirasi saya adalah ahli keluarga saya sendiri. Saya mahu potretkan Lisa sebagai kekuatan di sebalik perjuangan seorang lelaki.
“Ya, memang saya boleh ‘relate’ dengan watak ini sebab kakak saya pernah melalui perjalanan tersebut. Bukannya senang.
“Selepas saya melalui perjalanan Lisa, lagilah saya menghormati bukan saja kakak saya tetapi semua dekat luar sana yang mengharungi jalan yang sama,” ujarnya.
Tambah bekas Miss Universe Malaysia 2019 itu, mereka yang berdepan ujian tersebut tidak seharusnya memandang rendah terhadap diri sendiri meskipun perjalanan dilalui bukan sesuatu yang mudah.
“You guys are the best. Saya tahu ia bukan satu perjalanan yang senang, tapi tak bermaksud you kena pandang rendah pada diri you.
“Tuhan Maha Pengampun, Tuhan Maha Besar. Just live, itu saja saya boleh cakap,” jelasnya.
Malah, Shweta turut berkongsi nasihat yang sering diberikan kakaknya supaya tidak terlalu membebankan diri dengan tekanan dan lebih menghargai kehidupan serta keluarga.
“Kalau boleh, jangan stres. Life is short, keep it simple, keep it happy, hormat family you, keep everyone around you happy and live your life to the fullest, like Lisa,” katanya.
Menerusi naskhah arahan Chiu Keng Guan itu, Shweta memegang watak Lisa, seorang pelumba berbakat yang kemudian bekerja sebagai mekanik bersama suaminya, Ajeet lakonan Irfan Zaini selepas satu kemalangan menjejaskan perjalanan karier mereka.
Konflik watak tersebut menjadi semakin berat apabila Lisa disahkan menghidap kanser, mencetuskan perjalanan emosi yang memberi kesan besar terhadap Ajeet.
TERBANG diinspirasikan daripada perjalanan legenda rali negara, Karamjit Singh selain mengetengahkan semangat kerjasama, kepercayaan dan perjuangan sesebuah pasukan.
Filem yang turut dibintangi Irfan Zaini, Zizan Razak, Jack Tan, Nam Ron dan Diana Danielle itu kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara termasuk dalam format 4DX.