Sekilas
- Datuk Fazley Yaakob menafikan dakwaan mendekati Datuk Seri Vida kerana kemewahan dan menjelaskan hubungan mereka adalah penyatuan dua keluarga dengan empayar perniagaan masing-masing.
- Fazley menerima sokongan daripada rakan artis, kenalan, dan pelajarnya walaupun pada awalnya bimbang dengan reaksi negatif terhadap hubungan mereka.
- Datuk Seri Vida pula mengecilkan kelompok pergaulan dan menganggap tohmahan mengenai hubungan mereka sebagai cabaran untuk membuktikan ia tidak benar.
Penyanyi dan cef selebriti Datuk Fazley Yaakob menepis dakwaan kononnya dia mendekati usahawan Datuk Seri Vida kerana kemewahan yang dimiliki usahawan itu.
Menurut Fazley, latar belakang keluarganya sendiri berada dalam keadaan kewangan yang baik dan menyifatkan hubungan mereka sebagai penyatuan dua keluarga yang masing-masing mempunyai empayar perniagaan.
“Siapa cakap saya tak ada duit? Kalau orang tengok latar belakang keluarga saya, Alhamdulillah semuanya cukup dari segi kewangan.
“Jadi penyatuan keluarga ini adalah penyatuan dua empayar bisnes. Insya-Allah, doakan yang baik-baik saja,” katanya ketika ditemui pada sidang media Anugerah Melodi Terhangat 2026 di Balai Berita, Bangsar, semalam.
Fazley mengakui pada awalnya bimbang hubungan rapat mereka akan menerima reaksi negatif daripada rakan artis, kenalan serta pelajarnya, namun mendakwa majoriti memberikan sokongan.
“Saya sebenarnya was-was kalau rakan-rakan artis, kawan-kawan dan pelajar saya berkata negatif tetapi 99 peratus memuji, menggalakkan dan mendoakan.
“Tiga hari kami tak buat siaran langsung TikTok pun ramai hantar mesej tanya kami bergaduh ke. Mereka mahu saya jaga DSV. Saya pula risau kalau tak dapat jaga dia dengan baik,” ujarnya.
Sementara itu, Vida mengakui kini mengecilkan kelompok pergaulannya dan hanya bertemu individu tertentu selepas menerima pelbagai pandangan mengenai hubungannya dengan Fazley.
“Ramai (yang dengki) dan saya dah kecilkan ‘circle’. Saya hanya jumpa orang tertentu saja.
“Bukan tak mahu berjumpa yang lain tetapi Alhamdulillah dijauhkan untuk seketika ini,” katanya.
Mengulas dakwaan Fazley mendekatinya kerana harta, Vida enggan memanjangkan isu tersebut dan memilih menjadikannya sebagai cabaran untuk membuktikan tohmahan berkenaan tidak benar.
“Antara kata-kata mereka, ‘alah, dia nak saya pun sebab nak harta’. Macam itulah.
“Saya jadikan perkara itu sebagai cabaran untuk tunjuk tohmahan tersebut tidak benar. Sebaliknya, Fazley yang kena beri harta pada saya,” selorohnya.
Sebelum ini, Fazley tidak lagi berselindung mengenai kemesraannya dengan Vida dan menegaskan hubungan mereka bukan sekadar gimik, sebaliknya berputik daripada keikhlasan.
Mereka mula rapat selepas menyertai program Talk To My Manager musim kedua bersama anak masing-masing, Cik B dan Fariedz.