Skip to main content

Hiburan

“Siapa Yang Tak Penat Buat…” - Lorenzo Irman Terkilan MV Dolla Diturunkan

Lorenzo

Pelakon, Lorenzo Irman akui sedikit terkilan selepas mengetahui muzik video (MV) Question nyanyian Dolla telah diturunkan selepas menerima teguran daripada beberapa pihak.

Bagaimanapun sebagai aktor, menurut Lorenzo atau nama lengkapnya Lorenzo Irmann Farhan @ Caddeo Paolo,21, dia akur dengan keputusan tersebut dan menerima teguran yang diberikan oleh masyarakat sekeliling.

“Hasil kerja daripada petang sampai pagi, siapa yang tak penat buat kerja dan sebenarnya untuk Dolla itu mereka punya comeback. Mereka pun lama tak keluar lagu dan peminat mereka sangat menantikannya.

“Selepas dah keluar kualitinya kita dapat lihat sangat bagus tapi dalam bagus itu pasti ada kekhilafan berlaku yang kita tak sedar. Padangan orang kita tak dapat nak endahkan dan ia isu yang besar untuk mereka.

“Dan apa sahaja tindakan yang diambil ia adalah luar bidang kuasa saya. Adalah rasa kesal sedikit sebab kita tak dapat nak tengok hasil itu tapi kita masih hormat dengan keputusan itu,” katanya kepada Gempak.

Lorenzo turut mendedahkan dia hanya mengetahui mengenai penarikan MV tersebut selepas membaca hantaran di media sosial.

Mengulas isu pakaian ahli kumpulan Dolla yang menjadi punca kontroversi, Lorenzo menyifatkan tiada mana-mana pihak yang patut dipersalahkan kerana setiap busana telah disediakan sepenuhnya oleh pihak produksi.

“Saya hanya muncul dalam MV sahaja, tak tahu pun mereka delete video itu. Tapi ada lah saya cuba tanya kenapa. 

“Meskipun kita tahu ahli kumpulan Dolla terdiri daripada bangsa Cina dan Melayu, Angle dan Tabby mungkin bebas tapi Sabronzo ada kekangan itu tapi pakaian itu telah disediakan mengikut konsep MV tersebut  jadi mereka pakai apa yang telah disediakan untuk mereka. 

"Tiada pihak yang salah dekat sini cuma kena lebih berhati-hati selepas ini dan ambil iktibar,” tambahnya.

Terdahulu, Universal Music Malaysia telah menurunkan video muzik terbaru kumpulan Dolla dari semua platform digital susulan kritikan mengenai penampilan ahli kumpulan yang dianggap terlalu mencolok mata.

Keputusan ini dibuat selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyuarakan kebimbangan tentang pemakaian artis beragama Islam yang tidak selari dengan garis panduan.

Must-Watch Video

Advertisement