Sekilas
- Sissy Iman berkongsi rasa syukur selepas berjaya memiliki rumah pertamanya hasil usaha keras selama ini.
- Dia mengakui sebelum ini kurang berkongsi pencapaian kerana menganggap ia kecil, namun kini mahu meraikan setiap kejayaan walaupun kecil.
- Rumah kondominium itu dibeli secara sendiri sebelum bertemu suami, dan Sissy berterima kasih kepada semua yang menyokong perjalanan seninya.
Penyanyi dan pengacara, Sissy Iman meluahkan rasa syukur selepas berjaya memiliki rumah pertamanya hasil usaha keras yang dibina selama ini.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Sissy atau nama lengkapnya Sissy Imann Mohammad Kamil mengakui sebelum ini dia cenderung untuk tidak berkongsi pencapaiannya kerana merasakan ia terlalu kecil untuk diraikan.
“Lima tahun lalu, saya beli kereta pertama saya, sebuah Nissan Serena. Saya simpan saja perkara itu, tak pernah cerita walaupun dengan kawan rapat sebab rasa ia tidak cukup besar. Yalah, cuma Serena, bukan Alphard atau Vellfire.
“Lama juga saya rasa perjalanan saya terlalu perlahan, kecil dan tidak layak untuk diraikan. Walaupun laluan itu sukar, saya anggap ia seperti tidak penting,” tulisnya.
Namun, menurut Sissy, perspektifnya kini berubah dan dia mahu meraikan setiap kejayaan kecil yang dia peroleh.
“Tapi hari ini, saya pilih untuk berfikir secara berbeza. Saya mahu menghargai sejauh mana saya sudah melangkah. Saya mahu meraikan kemenangan kecil, walaupun nampak ‘biasa’ pada orang lain. Jadi saya nak kongsi sedikit dengan kalian.
“Pada tahun 2024, sebelum saya bertemu suami, saya telah membeli sebuah rumah. Hari ini rumah itu siap dan saya sudah menerima kuncinya. Bukan banglo pun, cuma kondominium tapi istimewa sebab low density dan parkir betul-betul di depan rumah, tak perlu naik lif.
“Semuanya hasil usaha sendiri, keringat dan air mata. Alhamdulillah.Kadang-kadang kita terlalu sibuk melihat apa yang orang lain miliki, sampai lupa melihat apa yang Allah kurniakan kepada kita setiap hari.
“Dengan kerjaya freelance sebagai artis yang tidak popular, kerja yang tak menentu, bergerak secara indie, malah ibu bapa sendiri jadi pengurus sebab tak mampu upah orang, dalam masa sama sambung belajar, dapat beli rumah sendiri pun sudah cukup baik bagi saya,” ujarnya.
Sissy dalam masa sama turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa menyokong perjalanan seninya.
“Saya percaya semua ini terjadi dengan izin Allah, doa ibu bapa dan sokongan kalian semua. Terima kasih kerana sentiasa bersama saya dalam susah dan senang.
“Kepada sesiapa yang membaca ini, saya doakan impian kalian juga akan tercapai, insyaAllah. Doakan saya dapat lebih banyak rezeki selepas ini, nak ubah suai rumah pula,” tambahnya.