Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza akan membuat kemunculan istimewa di Fun Run Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta 2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 16 September ini.
Kehadiran penghibur nombor satu negara itu bagi menyerikan acara santai tersebut sempena Hari Usahawan Negara (HUN) dan Hari Malaysia yang bermula 12 September selama lima hari.
Advertisement
Lebih menarik, majlis pelepasan larian santai yang julung kali diadakan itu akan turut dihadiri pempengaruh terkenal, Pinn Yang dan selebriti lain.
Penganjur yang juga Pengarah Urusan, Raydiates Blue Sdn Bhd, Rayme Zainal berkata, pihaknya menyasarkan lebih 1,000 peserta menyertai larian yang bermula pukul 7.00 pagi itu.
Menurutnya, larian itu menawarkan dua kategori iaitu 3-kilometer (km) dan 5 km dalam usaha mengalakkan orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat bersama keluarga dan rakan.
“Tawaran harga penyertaan larian dibuka sehingga 7 September ini dan tiket boleh dibeli secara dalam talian di laman rasmi pendaftaran Ticket2u atau ikuti saluran media sosial Anjung Malaysiaku.
“Apa yang menarik, ia merupakan kemunculan istimewa Siti Nurhaliza yang akan bersama peserta larian memeriahkan Hari Malaysia nanti dengan aktiviti menarik dan berfaedah,” katanya yang turut bekerjasama Bersama SimplySiti sebagai Rakan Strategik.
Fun Run ini bukan sekadar acara larian santai, tetapi sebuah perayaan kebersamaan, gaya hidup sihat dan kecintaan terhadap Malaysia.
Lebih istimewa, larian ini menjadi kemuncak kepada karnival gaya hidup, hiburan dan makanan serta minuman (F&B) iaitu Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta 2025 yang berlangsung selama 5 hari bermula 12 September di lokasi sama.
“Fun Run ini adalah cara kami menyatukan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang.
“Kami mahu menjadikan festival ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu platform tahunan untuk usahawan, pempengaruh, artis dan rakyat Malaysia meraikan kreativiti, inovasi dan identiti negara.
“Jadi daftar sekarang, pakai kasut larian anda dan mari cipta memori indah bersama ribuan rakyat Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil,” kata Rayme.

Tahun ini, Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta hadir dengan kolaborasi bersama Hari Usahawan Negara (HUN) yang dianjurkan oleh Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia (DPUM).
Gabungan ini bukan sahaja mengangkat dunia F&B dan gaya hidup, tetapi juga membuka peluang luas buat usahawan tempatan untuk menampilkan produk serta membina jaringan strategik bersama komuniti.
Anjung Malaysiaku Foodie Run 2025 menjanjikan peluang untuk rakyat Malaysia meraikan Hari Malaysia dengan cara paling unik iaitu berlari, bergembira dan akhirnya menikmati kepelbagaian budaya & makanan negara.
Untuk pendaftaran dan maklumat lanjut, orang ramai boleh hubungi talian +60135086807 dan layari https://www.ticket2u.com.my/event/45260 / IG rasmi @ANJUNGMALAYSIAKU