Sekilas
- Datuk Seri Siti Nurhaliza muncul sebagai penyanyi undangan dalam konsert solo King Nassar di Istora Senayan, Jakarta, menyanyikan lagu Cindai, Nirmala, dan Betapa Ku Cinta Padamu dengan iringan orkestra.
- Nassar memilih Siti kerana lagu-lagunya sering dinyanyikan semasa beliau masih bersama kumpulan muzik kecil sebelum terkenal, dan mereka saling bertukar jemputan konsert antara Malaysia dan Indonesia.
- Konsert Lost in The Jungle turut menampilkan artis terkenal Indonesia lain seperti Raisa, Lesti Kejora, dan Elvy Sukaesih, serta menjadi trending di media sosial kerana persembahan menarik Nassar.
Kemunculan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai penyanyi undangan pada konsert solo penyanyi dangdut popular Indonesia, King Nassar, nyata menjadi antara kejutan istimewa buat peminat yang hadir.
Konsert yang diberi judul Lost in The Jungle yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta itu menyaksikan Siti dan Nassar berpadu suara mendendangkan lagu fenomena biduanita negara, Cindai,
Malah, Siti turut menyampaikan lagu hitnya Nirmala dan Betapa Ku Cinta Padamu dengan iringan orkestra di bawah pimpinan maestro terkenal Indonesia, Erwin Gutawa.
Kehadiran penyanyi tersohor itu sememangnya menjadi satu kejutan istimewa, apatah lagi Siti sebelum ini pernah mengundang Nassar membuat persembahan pada Konsert Tradisional Gema Bumantara yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Oktober lalu.
Ia disifatkan seperti Siti membalas silaturahim lintas negara yang terjalin menerusi muzik Nusantara apabila hadir dan berbesar hati menghiburkan peminat dengan tiga buah lagu.
Sementara itu, Nassar mendedahkan pemilihan Siti sebagai penyanyi undangan bukan sekadar mahu menampilkan nama besar dalam industri muzik, sebaliknya mempunyai nilai sentimental dalam perjalanan karier seninya.
Menurut Nassar, lagu-lagu Siti antara karya yang sering dinyanyikannya ketika masih bergelar penyanyi kumpulan muzik kecil sebelum menempa populariti.
"Kenapa pilih Datuk Siti? Sebab dahulu, sebelum saya menjadi siapa-siapa, ketika masih menyanyi bersama kumpulan organ tunggal, saya sering menyanyikan lagu Cindai dan Betapa Ku Cinta Padamu.
"Itulah lagu-lagu yang saya selalu nyanyikan," katanya seperti dilaporkan Kapanlagi.
Nassar turut berkongsi hasrat untuk berduet dengan Siti sudah disuarakan ketika dia berkunjung ke Malaysia bagi menjayakan konsert penyanyi berkenaan.
"Ketika saya datang ke Malaysia untuk menyanyi di konsert beliau, saya beritahu mahu menyanyikan lagu-lagunya konsert saya nanti.
“Saya melamar Siti waktu itu untuk jadi penyanyi undangan di konsert saya.
"Alhamdulillah, beliau bersetuju dan akhirnya impian itu menjadi kenyataan," ujarnya lagi.
Selain Siti, konsert solo Nassar turut menampilkan beberapa nama besar industri muzik Indonesia termasuk Raisa, Lesti Kejora dan legenda dangdut, Elvy Sukaesih.
Konsert tersebut turut menjadi trending di media sosial kerana peminat teruja dengan persembahan menghiburkan yang ditonjolkan Nassar termasuk memanjat tiang yang menjadi trade mark-nya sebelum ini.