Sekilas
- Datuk Seri Siti Nurhaliza mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kehadirannya di Konsert Gema Bumantara yang memartabatkan muzik tradisional dan warisan seni budaya.
- Konsert ini bertujuan mengajak semua menghayati keindahan budaya Melayu, Cina, India serta seni Nusantara sambil menegaskan irama tradisional tidak kalah dengan muzik moden.
- Konsert solo pertama Siti di TM Stadium Nasional itu turut menampilkan artis undangan dari Malaysia dan Indonesia, sebagai usaha mengangkat muzik tradisional ke peringkat lebih tinggi.
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menzahirkan penghargaan buat YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kesudiannya untuk hadir pada Konsert Gema Bumantara yang berlangsung di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu.
Menerusi perkongsian di Instagram Story, Siti yang mengulang siar (repost) hantaran dibuat PMX turut menyifatkan konsert itu sebagai satu simbolik untuk mengangkat martabat muzik tradisional dan memelihara warisan seni budaya.
“Terima kasih PMX, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana hadir menyokong usaha kami anak seni yang berusaha menaikkan martabat lagu tradisional.
“Konsert ini bukan sekadar hiburan tetapi ingin mengajak semua menghayati indahnya budaya dan jati diri kita terhadap seni budaya Melayu, Cina dan India serta senusantara,” tulisnya.
Tambah pelantun lagu Cindai ini, dia turut berpendapat bahawa irama tradisional tidak kalah dengan muzik moden yang menjadi ikutan masyarakat ketika ini.
Dalam masa yang sama, Siti berharap agar sokongan itu juga sedikit sebanhak dapat membantu mengangkat muzik tradisional ke peringkat lebih tinggi.
“Irama tradisional kita begitu indah tidak kalah dengan irama modern yang yang menjadi ikutan semasa.
“Berbanggalah kita masih mampu mengekalkan seni budaya kita dan terus kekal walaupun pelbagai muzik muncul mengambil tempat di hati peminat seni.
“Sokongan pihak kerajaan amatlah saya hargai untuk menjadikan industri seni kreatif negara di angkat hingga ke peringkat tertinggi.
“Irama tradisional dimainkan disetiap corong radio kerajaan atau swasta, pasti terus kekal dan malar segar sampai bila bila. Terima kasih PMX, terima kasih semua,” tambahnya lagi.
Konsert Tradisional Gema Bumantara dipentaskan Siti selepas sembilan bulan mencipta sejarah menerusi konsert tiga dekad pembabitannya dalam industri seni, iaitu Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza yang berjaya menghimpunkan kira-kira 65,000 di lokasi sama pada 10 Januari lalu.
Konsert berkenaan menjadi hadiah istimewa buat peminat selain usaha meraikan dan mengangkat semula keindahan muzik tradisional agar terus kekal relevan merentas generasi.
Ini sekali gus menjadi konsert solo pertama Siti di lokasi ikonik itu yang mengetengahkan sepenuhnya konsep muzik tradisional dan warisan Nusantara.
Menariknya, konsert berkenaan turut dimeriahkan dengan artis undangan membabitkan penyanyi jolokan Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris, Haziq Rosebi serta dua penyanyi dari Indonesia, Lesti Kejora dan King Nassar.