Sekilas
- Datuk Seri Siti Nurhaliza semakin aktif membalas komen peminat di platform Threads dengan gaya santai dan penuh gurauan.
- Spekulasi timbul apabila netizen menyangka akaun Threads Siti dikendalikan oleh menantunya, Izara Aishah, namun Izara menafikan dan mengesahkan Siti sendiri yang membalas komen.
- Izara menjelaskan suasana di Threads lebih santai dan interaksi artis dengan peminat kini lebih kerap, walaupun ia jarang berlaku sebelum ini.
Kehadiran biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang dilihat semakin aktif membalas komen peminat di platform Threads ternyata mencuri perhatian ramai.
Lebih-lebih lagi apabila Siti membalas komen-komen itu dengan gaya penulisan bersahaja dan lengkap dengan gurauan yang menghiburkan.
Namun apa yang mencuit hati apabila keaktifan Siti itu telah mencetuskan spekulasi dalam kalangan netizen yang menyangka akaun Threads milik Siti Nurhaliza sebenarnya dikendalikan oleh menantunya, pelakon Izara Aishah.
Menjawab mengenai perkara itu, Izara berkata dia sama sekali bukan ‘admin’ kepada akaun ibu mentuanya itu, sebaliknya segala balasan yang dibuat adalah datang terus daripada Siti sendiri.
“Bukan saya yang admin Mak Iti, itu memang queen yang reply, bukan saya yang reply.
“Mak Iti dengan Izara sebenarnya kita satu keluarga semua ‘masuk air’,” katanya ketika ditemui Gempak.
Menjelaskan lebih lanjut, Izara berkata suasana di platform Threads itu lebih santai membuatkan orang ramai termasuk selebriti gemar berinteraksi secara bergurau dan lebih kasual.
“Kadang-kadang kita ni suka bergurau juga, Threads ini kan tempat orang bergurau-gurauan. Tapi mungkin buat masa awal-awal ni masyarakat belum boleh terima yang artis tu dah mula membalas.
“Sebab selalunya sebelum ini kalau orang komen di Instagram atau mana-mana media sosial, kita tidak berapa baca.
“Jadi kadang-kadang kita nak lah ‘be involved’ tapi tidak selalu. Cuma setiap bila kita bersuara, perkara itu akan menjadi sesuatu yang besar sebab kita ini jarang bersuara.
“Saya jenis yang jarang bersuara begitu juga dengan Mak Iti, jadi bila kita cakap benda benda yang simple pun boleh jadi berita,” jelasnya.
Terdahulu, Siti dilihat sangat aktif di platfrom Threads dan sering membalas komen netizen selepas berakhirnya Konsert Legacy 30: Passion, Sincere and Love.
Lebih menarik, komen yang ditinggal oleh pelantun lagu Wajah Kekasih itu sangat bersahaja sehingga ada yang merasakan itu bukanlah tuan badan yang membalasnya.
Bahkan ada juga yang berseloroh meminta anak kedua kepada Siti iaitu Muhammad Afwa agar menutup router internet bagi mengelakkan ibunya dari terus membalas komen netizen.