Sekilas
- Siti Saerah reda dengan keputusan anak lelakinya, Ahmad Dayyan, untuk tinggal bersama bekas suaminya di Kuantan dan meneruskan persekolahan di sana.
- Walaupun rindu, Siti Saerah menghormati pilihan anaknya dan mendoakan yang terbaik untuk masa depan Ahmad Dayyan.
- Ahmad Dayyan sudah menetap di Kuantan sejak dua minggu lalu tetapi masih ada komitmen seni yang perlu diselesaikan di Kuala Lumpur.
Penyanyi, Siti Saerah reda apabila anak lelakinya, Ahmad Dayyan, mengambil keputusan untuk tinggal bersama bapa yang juga merupakan bekas suaminya, Saiful Anuar, di Kuantan.
Menurut Saerah, sebagai seorang ibu, dia mengizinkan Ahmad Dayyan atau Amad untuk menetap di Kuantan dan meneruskan persekolahan di sana sebagai menghormati keputusan tersebut.
“Apabila anak sudah meningkat remaja, akan sampai masanya dia ada pilihan mereka sendiri dan saya sebagai ibu tidak pernah menghalang kehendanya.
“Sekiranya dia merasakan pilihannya untuk pulang ke sana adalah untuk dirinya, kebaikannya, saya tiada masalah. Sebenarnya kami semua okay, tak ada masalah,” ujarnya.
Saerah berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran single anak perempuannya, Umairah berjudul Hujung Indah bertempat di Ideas Kuala Lumpur pada Rabu.

Mengulas perasaannya apabila terpaksa berjauhan dengan anak, Saerah, mengakui sedikit sebanyak rasa rindu mula membuatkan dirinya sukar melelapkan mata pada waktu malam.
“Ibu mana yang tidak sedih… Saya sedih sampai tak boleh tidur, tapi tak mengapa sebab itu pilihan dia.
“Jadi saya sebagai ibu mendoakan yang terbaik untuk dia, dengan pilihan dia itu saya mengharapkan perubahan yang baik untuk diri dia,” katanya sebak.
Untuk info, Amad sudah mula menetap bersama bapanya, Saiful Anuar di Kuantan sejak dua minggu lalu dan meneruskan persekolahan di sana.
Bagaimanapun, Amad masih mempunyai beberapa komitmen seni yang perlu dilaksanakan di Kuala Lumpur.