Sekilas
- Filem seram tempatan Malam Terlarang berjaya raih kutipan RM10 juta di pawagam seluruh negara, kukuhkan status sebagai filem seram paling laris tahun ini.
- Filem ini mengisahkan obsesi ilmu hitam dan kesan keghairahan mengejar kuasa yang menghancurkan keluarga dan waras fikiran.
- Barisan pelakon utama termasuk Zul Ariffin dan Sofia Jane, dengan penampilan istimewa di pawagam terpilih; maklumat lanjut boleh diikuti di akaun Astro Shaw dan Astro Gempak.
Filem seram terbitan Astro Shaw, Malam Terlarang, terus mencipta fenomena apabila berjaya meraih kutipan RM10 juta di pawagam seluruh negara, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai filem seram tempatan paling laris tahun ini.
Penerbit Eksekutif Malam Terlarang, Raja Jastina Raja Arshad, berkata kejayaan itu tidak akan tercapai tanpa sokongan padu daripada penonton, media dan rakan pempamer.
“Kami amat berterima kasih kepada semua penonton yang memilih untuk menonton Malam Terlarang di pawagam.
“Kejayaan kutipan RM10 juta ini bukan sahaja hasil dedikasi seluruh pasukan produksi dan pemasaran, tetapi juga sokongan berterusan daripada pihak media yang membantu mengangkat cerita ini ke khalayak lebih luas.
“Tidak dilupakan rakan-rakan pempamer yang sentiasa memberikan platform terbaik untuk memastikan filem ini terus dapat dinikmati di layar perak,” katanya.
Memasuki minggu ketiga tayangan, filem idea asal oleh Hazo Mahayuddin, Haris M. Nor, Ariff Zulkarnain dan Nazifdin Nasrudin ini menawarkan lebih daripada sekadar elemen seram.
Malam Terlarang mengetengahkan kisah yang gelap dan mendalam dengan memberi fokus kepada obsesi terhadap ilmu hitam, serta bagaimana keghairahan mengejar kuasa mampu menghancurkan keluarga, waras fikiran dan batas kemanusiaan.
Filem ini dibintangi oleh Zul Ariffin, Sofia Jane, Shasha Abedul, Sabri Yunus, Normah Damanhuri, Hasnul Rahmat, Amir Nafis, Haneesya Hanee, Aila Azizul dan Sadiq M. Jamil.
Temui barisan pelakon yang akan membuat penampilan istimewa di pawagam-pawagam terpilih. Ikuti akaun Astro Shaw dan Astro Gempak untuk maklumat lanjut.
Sinopsis Malam Terlarang
Mawar, seorang gadis 18 tahun membesar di sebuah bandar kecil bernama Kampung Pasir Larung. Cita-citanya sebagai wartawan tertangguh kerana terpaksa menjaga ibunya, Sarimah, apatah lagi bapanya, Omar sibuk dengan kerjaya politik. Namun, pemergian mengejut kakaknya, Safar mengubah keadaan. Mawar diganggu pengalaman mistik dan kejadian paranormal yang mengerikan, membuatkan dia nekad mencari punca misteri kematian Safar.