Skip to main content

Viral

Steady, Tunai Permintaan Peminat PM Anwar Kongsi Persembahan G-Dragon Di APEC 2025

gdragon

Bintang K-pop terkemuka, G-Dragon bersama penari tersohor dan pemain biola cilik berusia 11 tahun, Kim Yeon-ah, mencuri tumpuan dalam satu persembahan kebudayaan istimewa sempena Majlis Makan Malam Gala Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC 2025 pada Jumaat.

Bertempat di bandar bersejarah Gyeongju, persembahan bertemakan 'Journey of Butterfly: Together, We Fly' itu mengetengahkan warisan budaya Korea dalam latar malam yang memukau, sambil menyampaikan naratif tentang masa depan mampan di tengah ketidaktentuan global.

Advertisement

Majlis makan malam rasmi itu dihoskan oleh Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung selaku Pengerusi APEC 2025 bersama Wanita Pertama, Kim Hea Kyung.

Pelakon dan idola K-pop popular, Cha Eun-woo membuka pentas sebagai pengacara malam tersebut, menambah seri kepada malam penuh simbolik itu, sekali gus memperkukuh daya tarikan budaya Korea kepada khalayak antarabangsa.

Turut menyertai G-Dragon ialah dua ikon tari Korea - Honey J, ketua kumpulan HolyBang yang dikenali menerusi rancangan Street Woman Fighter dan Lee Jung, koreografer terkenal dari siri Netflix KPop Demon Hunters.

Babak terakhir memperlihatkan gabungan teknologi dan seni dalam bentuk yang unik.
Robot berkaki empat, Spot, bergandingan dengan Kim Yeon-ah dalam persembahan yang melambangkan harapan dan keharmonian antara manusia dan teknologi.

Terdahulu hantaran mencuit hati Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai G-Dragon yang membuat pertunjukan pada makan malam Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) malam tadi berjaya mencuri hati sebilangan besar peminat bintang K-Pop itu di Malaysia.

Perdana Menteri berkongsi klip pertunjukan 36 saat bintang berkenaan yang sedang menyanyikan lagu "Drama" di akaun Twitter, Instagram dan Facebook rasmi beliau.

"Ramai peminat K-Pop di Malaysia minta saya kongsikan persembahan G-Dragon malam ini. Jadi saya kongsi sedikit detik persembahan beliau supaya tak menghampakan para peminat," kata beliau menerusi hantaran di X.

Sejak hantaran itu dimuat naik tujuh jam lepas di X, video tersebut telah ditonton sebanyak 520,000, dengan reaksi like sebanyak 7,815, sebanyak 3,674 repost, dan 1,105 quotes.

Must-Watch Video

Advertisement