Sekilas
- Stephen Chow kembali dengan filem terbaharu Kung Fu Soccer yang mencatat kutipan AS$73.6 juta dalam dua hari tayangan di China.
- Filem ini mengisahkan pasukan bola sepak wanita yang menggabungkan seni mempertahankan diri dan aksi di atas padang, menampilkan barisan pelakon terkenal dari China, Hong Kong, Jepun, dan Hollywood.
- Kung Fu Soccer adalah spin-off kepada filem kultus Shaolin Soccer dan kini menguasai carta pecah panggung di China dengan penilaian tinggi dari penonton.
Bagi generasi milenial, Stephen Chow adalah lagenda yang pernah menggeletek hati dengan humor dalam persembahan lakonannya. Salah satu naskhah dan penampilan ikoniknya adalah filem Shaolin Soccer.
Selepas tujuh tahun tidak mengarah filem, Chow akhirnya kembali dengan naskhah terbaharu, Kung Fu Soccer yang terus mencetuskan fenomena di China.
Filem komedi aksi itu meraih kutipan sebanyak AS$73.6 juta (kira-kira RM295 juta) hanya dalam tempoh dua hari tayangan, sekali gus menguasai carta pecah panggung di negara itu.

Menurut data Artisan Gateway, Kung Fu Soccer menyumbang hampir 75 peratus daripada keseluruhan jualan tiket hujung minggu di China dan mencatat kutipan sembilan kali ganda lebih tinggi berbanding filem di tempat kedua.
Filem itu mula ditayangkan pada Sabtu lalu, termasuk di pawagam IMAX, dengan kutipan hari pertama mencecah AS$38.3 juta (RM153 juta), lapor The Hollywood Reporter.
Lebih membanggakan, penonton di platform tiket Maoyan turut memberikan penilaian 9.4 daripada 10, manakala ramalan awal menjangkakan filem tersebut mampu mengutip sekitar AS$368 juta (RM1.48 bilion) sepanjang tayangannya.
Kung Fu Soccer merupakan spin-off kepada filem ikonik Shaolin Soccer yang mencipta fenomena pada tahun 2001.
Kali ini, Stephen Chow tampil sebagai penulis dan pengarah, namun tidak lagi berlakon dalam filem itu selepas kali terakhir muncul menerusi CJ7 pada 2008.
Versi baharu ini mengisahkan sebuah pasukan bola sepak wanita, Emei, yang menggabungkan seni mempertahankan diri dengan aksi di atas padang dalam usaha memburu kejuaraan kejohanan Supreme Invincible Cup.
Barisan pelakon dibintangi Zhang Xiaofei sebagai ketua pasukan, Dilraba Dilmurat sebagai penyerang utama dan Lay Zhang sebagai jurulatih kung fu.
Turut membuat penampilan adalah pelakon veteran Hong Kong Carina Lau, bintang Jepun Takeru Satoh, bekas penjaga gol skuad wanita China Zhao Lina serta pelawak Hollywood Jimmy O. Yang.
Tayangan Kung Fu Soccer dipilih bersempena ulang tahun ke-25 filem asal Shaolin Soccer, selain mengambil kesempatan daripada kemeriahan Piala Dunia yang sedang berlangsung.
Untuk rekod, Shaolin Soccer pernah menjadi filem tempatan dengan kutipan tertinggi dalam sejarah Hong Kong ketika ditayangkan pada 2001 sebelum muncul sebagai filem kultus yang diminati penonton di seluruh dunia.
Setakat ini, Kung Fu Soccer masih belum mempunyai tarikh tayangan rasmi di Amerika Syarikat.
Hak pengedaran antarabangsa di luar tanah besar China kini dimiliki syarikat Encore Films, yang sebelum ini berjaya mengedarkan filem animasi popular Ne Zha 2 ke pasaran global.
Difahamkan, urusan pengedaran ke negara-negara lain sedang dijalankan secara berperingkat.
Sementara itu, filem animasi Minions & Monsters berada di tangga kedua carta China dengan kutipan hujung minggu sebanyak AS$8.1 juta (RM32 juta).
Di tempat ketiga pula ialah filem animasi Three Kingdoms: The Beginning yang mengutip AS$4.7 juta (RM19 juta).
Filem seram Backrooms kekal di kedudukan keempat, manakala komedi satira fiksyen sains Keep Real melengkapkan senarai lima filem paling laris minggu ini.