Skip to main content

Hiburan

Stres Melampau Akibat Ditipu RM80,000, Nourul Depp Pernah Diuji Kanser Pada 2018 - “Saya Perlu Buang Uterus & Ovari”

Nourul Depp

Sekilas

  • Nourul Depp berkongsi pengalaman diuji kanser saluran faraj tahap pertama yang menyebabkan beliau terpaksa membuang uterus dan ovari selepas stres akibat ditipu RM80,000 pada 2018.
  • Beliau menjalani pembedahan dan kini bebas kanser tanpa perlu kemoterapi, sambil bersyukur atas kesihatan yang semakin baik.
  • Nourul akan mengadakan konsert solo pertamanya selepas lebih 30 tahun dalam industri pada 17 April di Zepp Kuala Lumpur, dengan tiket sudah mula dijual.

Penyanyi, Nourul Depp berkongsi kisah dukanya yang pernah diuji kanser saluran faraj tahap pertama pada 2018 sehingga terpaksa membuang uterusnya pada September 2020 dan ovari tahun lalu.

Menurut Nourul atau nama sebenarnya Noorulhuda Abdul Wahab, sakit itu berkemungkinan besar berpunca daripada stres melampau selepas ditipu RM80,000 pada 2018.

Ujarnya, pada ketika itu, ada pihak berjanji mahu membantunya menerbitkan album bahasa Perancis sebelum lesap dan menghilangkan diri.

“Sebuah syarikat tempatan kata nak taja dan semua perjanjian pun ada untuk memberi dana RM80,000. Saya dan suami pun okay, percaya, tandatangan perjanjian, keluar duit dulu pergi buat album di Perancis.

“Rupanya kami ditipu syarikat tempatan itu, kes pun masuk mahkamah, namun mereka lesap dan sampai ke hari ini RM80,000 itu tak dapat. Itu memang antara dugaan hidup paling besar buat saya. Sampaikan saya dapat kanser.

“Rakan suami saya yang mengkaji pasal minda, stres, tenaga, dan sebagainya cakap saya stres. Memang pun kalau stres disebabkan hormon kortisol tinggi. Kebanyakan yang dapat masalah kanser sekarang semua sebab stres,” katanya kepada Gempak.

Walau bagaimanapun, penyanyi berusia 48 tahun itu meluahkan rasa syukur kerana kesihatannya semakin baik selepas melakukan pembedahan membuang uterus.

“Bila dapat tahu (kanser), doktor adalah bagi cara mengubat seperti suntikan vaksin HPV (virus papilloma manusia) yang lazimnya untuk wanita berdepan masalah uterus. Doktor suruh cuba dulu enam bulan.

“Tapi kanser itu datang lagi dan berkembang daripada pra kanser kepada tahap satu. Proses itu berlaku sehingga saya mengandungkan Isabella (anak keempat). Kalau makin teruk, saya takkan mengandung.

“Doktor suruh buat sekali lagi analisis dan memang kanser. Saya memutuskan untuk membuang dan Alhamdulillah, sekarang saya sudah bebas (kanser) dan tak ada apa-apa. Memang tak ada ambil kemoterapi atau rawatan lain,” kongsinya.

Sementara itu, Nourul bakal tampil dengan konsert solo pertamanya selepas lebih 30 tahun bergelar penyanyi.

Konsert yang diberi nama For You: Nourul itu akan diadakan secara langsung di Zepp Kuala Lumpur pada 17 April tahun depan.

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan tiket yang sudah mula dijual di www.ticket2u.com.

Must-Watch Video

Advertisement