Sekilas
- Penyanyi wanita di Kelantan dan Terengganu menghadapi sekatan persembahan di tempat terbuka, menyukarkan mereka mencari rezeki melalui nyanyian.
- Adik Waniey kini mencari pendapatan alternatif seperti menjadi hos siaran langsung dan menjalankan perniagaan pengurusan acara serta sewaan peralatan.
- Waniey akan turut serta dalam Konsert Kelate Ke KL 2026 yang akan diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada 29 Ogos depan.
Penyanyi Adik Waniey mengakui sekatan terhadap persembahan penyanyi wanita di Kelantan dan Terengganu menyebabkan mereka semakin sukar mencari rezeki menerusi bidang nyanyian.
Menurut Adik Waniey atau nama sebenarnya Azmahirwani Nordin, 35, penyanyi wanita tidak dibenarkan membuat persembahan di kawasan terbuka sehingga mengehadkan peluang untuk menerima tawaran nyanyian.
“Sekarang, memang susahlah perempuan nak menyanyi. Sebab ada sekatan.
“Kalau tempat-tempat terbuka memang kita tak boleh menyanyi langsung. Kecuali di majlis perkahwinan atau dewan tertutup, itu bolehlah.
“Tapi kalau untuk cari makan sebagai penyanyi dekat Kota Bharu memang tak boleh. Susahlah,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Kelate Ke KL 2026 di Kuala Lumpur, pada Rabu.
Menurut pelantun lagu Tubik Masuk itu, sekatan tersebut sudah lama dilaksanakan namun penguatkuasaannya semakin ketat sejak kebelakangan ini.
“Dah lama, tapi yang paling ketat tahun inilah.
“Bukan Kelantan sahaja, Terengganu pun sama,” ujarnya.
Disebabkan peluang sebagai penyanyi semakin terhad, Waniey berkata dia kini mencari sumber pendapatan lain termasuk menjadi hos siaran langsung serta mengusahakan perniagaan sendiri.
“Selepas benda ini berlaku, saya jadi hos siaran langsung dan buat live affiliate.
“Macam-macamlah, tak bergantung pada tawaran menyanyi saja. Lepas itu saya ada perniagaan event management dan sound event management. Kami buat sewa pembesar suara, LED dan macam-macam lagi,” katanya.
Tambahnya, ketika ini hampir tiada lagi tawaran persembahan diterima di Kelantan menyebabkan dia lebih banyak memenuhi undangan di negeri lain.
“Sekarang memang tak ada tawaran langsung di Kelantan. Memang susah nak dapat.
“Kalau ada tawaran di luar negeri macam Kuala Lumpur, Johor atau Kedah, saya akan pergilah,” katanya.
Mengulas sama ada pernah terfikir untuk meninggalkan dunia nyanyian, Waniey mengakui pernah berdepan detik tersebut susulan kecaman netizen selain kekurangan peluang membuat persembahan.
“Memang pernah terfikir nak berhenti menyanyi. Bila ada komen-komen negatif masa saya buat live, ada orang cakap kita tak laku dan macam-macam lagi.
“Sebab itu saya buat bisnes sound event management ini. Macam nak lari daripada bidang nyanyian dan beralih kepada bidang itu,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Waniey merupakan antara barisan penyanyi yang bakal menjayakan Konsert Kelate Ke KL 2026 bersama Eda Ezrin, Rosalinda, Den Manjo, Man Khan, Fendi Kenali dan Aris Kapilla di Zepp Kuala Lumpur pada 29 Ogos depan.