Sekilas
- Ayden, anak sulung Bella Astillah, dipuji warganet kerana sikapnya yang sopan, matang, dan pandai membawa diri sepanjang majlis pernikahan Bella dan Syed Saddiq.
- Seorang pemilik butik abaya kagum dengan disiplin dan bahasa tubuh Ayden yang menunjukkan rasa hormat sejak pertama kali bertemu.
- Didikan Bella serta sokongan keluarga dianggap memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi Ayden dan adiknya, Ara.
Bukan hanya kemeriahan majlis pernikahan Bella Astillah dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencuri perhatian, malah keperibadian anak sulung penyanyi itu, Ayden turut menerima pujian ramai.
Menerusi beberapa hantaran di media sosial, warganet memuji sikap Ayden, 9, yang disifatkan cukup sopan, matang serta tahu membawa diri sepanjang berlangsungnya majlis berkenaan.
Seorang pengguna media sosial mengakui perhatiannya lebih tertumpu kepada Ayden apabila kanak-kanak itu dilihat tidak kekok menyapa tetamu selain melambai kepada kamera yang merakamnya.
“Such a well-mannered boy! Dia menyapa tetamu, melambai kepada setiap kamera yang menghala kepadanya dan berkelakuan sangat baik sehingga tamat majlis.
“Biasanya kanak-kanak seusianya sudah mula merungut kepenatan selepas beberapa jam tetapi Ayden menghadapinya dengan sangat baik.
“Cara dia menjawab soalan wartawan juga sangat matang untuk kanak-kanak berusia sembilan tahun,” tulisnya.

Perkara sama turut dikongsikan seorang pemilik butik abaya yang pernah berurusan dengan Ayden ketika mengambil ukuran pakaian ‘kandora’ berwarna putih dan ungu muda.

Menurut individu terbabit, dia sudah tertarik dengan cara Ayden membawa diri sejak pertama kali bertemu kanak-kanak tersebut.
“Dari hari dia datang ke butik untuk ambil ukuran kandora sehingga sekarang, saya kagum dengan budak ini.
“Bahasa tubuhnya, letak tangan di belakang, menunjukkan disiplin dan rasa hormat. Dia juga sangat sopan,” katanya.
Dalam masa sama, terdapat warganet yang berpendapat didikan Bella serta sokongan ahli keluarga turut memainkan peranan dalam membentuk peribadi Ayden dan adiknya, Ara.
“Bella mendidik Ayden dan Ara dengan sangat baik serta mendapat sokongan dan kasih sayang sepenuhnya daripada ayah, mama Bella, Didi dan keluarga mereka.
“Saya pernah terserempak ayah Bella bersama Dini bawa Ayden dan Ara di Toys ‘R’ Us KLCC. Sangat lembut seorang atuk melayan cucu-cucunya. Budak-budak itu pun sangat sopan bercakap dengan atuknya,” kongsi seorang pengguna.
Terdahulu, Bella selamat diijabkabulkan dengan Syed Saddiq dalam majlis yang berlangsung di Merdeka 118 Precinct baru-baru ini.
Sumber: Threads