Sekilas
- Atu dari kumpulan Zero mengesahkan hubungan dingin dengan abangnya, Sharif, yang sudah hampir dua tahun tidak bertegur sapa.
- Hubungan Atu dengan abang sulung mereka, Saiful atau Melati, berada dalam keadaan baik dan Melati banyak memberi nasihat serta berperanan sebagai pengimbang.
- Walaupun hubungan dengan Sharif renggang, Atu menegaskan profesionalisme tetap diutamakan jika mereka bekerjasama semula di atas pentas.
Pelawak dan anggota kumpulan Zero, Atu tampil menjelaskan situasi sebenar mengenai dakwaan hubungan dingin antara dirinya dan abangnya, Sharif, yang juga merupakan ahli kumpulan tersebut.
Menurut Atu, hubungan antara mereka belum pulih sepenuhnya dan masih lagi dalam fasa ketidakpastian.
“Masih lagi dalam keadaan kekalutan di mana kami belum jumpa lagi kata putus untuk melakukan apa-apa.
“Sudah hampir dua tahun kami tidak bertegur, saya tak pasti jika dia ada bertegur dengan keluarga atau tidak.
Atu berkata demikian ketika ditemui pada sesi penggambaran kempen Ramadan dan Raya Astro bertempat di 20twelve Studio, Petaling Jaya pada Khamis.
Bagaimanapun, Atu menegaskan hubungannya dengan seorang lagi abang iaitu Saiful atau lebih dikenali sebagai Melati, berada dalam keadaan baik.
Malah kata Atu, Melati bersikap lebih matang dan banyak memainkan peranan sebagai abang sulung yang cuba mengimbangi keadaan.
“Tetapi saya dengan abang saya, Melati (Saiful) baik-baik sahaja. Baru-baru ini kami pun ada bekerja sama-sama.
“Dengan Melati tak ada isu tapi dengan yang lagi satu lah kot… tapi kalau tanya saya, bukan salah saya.
“Melati ada hantar emoji di group WhatsApp kami, dia tidak cakap apa-apa, no komen. Cuma dia abang sulung jadi dia tahu mana yang terbaik untuk kita adik-beradik.
“Jadi abang sulung ini dia banyak berdiam tetapi dia juga ada banyak bagi nasihat, apa-apa pun kerja kita tetap kita buat,” ujarnya.
Walaupun hubungan dengan Sharif masih renggang, Atu menegaskan soal profesionalisme tetap menjadi keutamaan mereka sekiranya ditakdirkan kembali bekerjasama di atas pentas.
“Kalau kita satu hari nanti direzekikan untuk bekerjasama atas pentas bersama, kita profesional, kerja buat macam biasa.
“Melati cakap apa-apa pun jangan bergaduh, bergaduh lah. Siapa rasa bersalah minta maaf,” ulasnya.
Terdahulu, desas desus mengenai hubungan adik beradik ini menjadi lerhatian netizen selepas lama tidak membuat persembahan bersama.
Malah majlis pelancaran single pertama Zero berjudul Tondu juga berlangsung tanpa kehadiran dua abang, Syaiful dan Sharif sekitar awal Januari lalu memberi gambaran hubungan tiga beradik ini sedang dilanda masalah.
Bagaimanapun, ketika itu Atu menafikan mereka bergaduh namun mengiyakan hubungan kini agak berbeza berbanding sebelum ini.