Sekilas
- Pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, dipercayai maut selepas dipukul berulang kali menggunakan batang besi sepanjang 96 sentimeter di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat.
- Suspek berusia 16 tahun yang juga rakan sekelas mangsa ditahan dan direman, dipercayai bertindak kerana dendam akibat cinta ditolak serta cemburu terhadap hubungan mangsa dengan rakan baiknya.
- Pelakon dan pengacara Janna Nick meluahkan kemarahan terhadap kejadian tersebut, khususnya tindakan lelaki memukul wanita sehingga menyebabkan kematian.
Berita mengenai pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, dipercayai maut selepas dipukul berulang kali menggunakan sebatang besi sepanjang 96 sentimeter mengundang kemarahan semua pihak.
Termasuklah pelakon dan pengacara Janna Nick yang turut meluahkan kemarahannya apabila mengetahui berita tersebut.
Menurut Janna, dia paling tidak suka dengan tindakan lelaki memukul wanita apatah lagi sehingga menyebabkan kematian.
“Marahnya rasa bila dapat tau arwah Irene Sofiya kena pukul dengan batang besi. Sumpah benci lelaki yang pukul perempuan.
“Ni pula pukul sampai mati anak orang. Saya tak boleh, saya terlalu marahh sekarang ni!🤬,” kongsi Janna menerusi Threads.
Terdahulu menerusi laporan media, Irene Sofiya dipercayai maut selepas dipukul berulang kali menggunakan sebatang besi sepanjang 96 sentimeter, termasuk pada bahagian kepala, dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat, Sabtu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk AB Rahaman Arsad berkata, batang besi yang dibalut dengan tali leher itu dipercayai digunakan suspek berusia 16 tahun ketika menyerang mangsa.
Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah akibat trauma tumpul di kepala, selain beberapa kecederaan turut dikesan pada anggota badannya.
AB Rahaman berkata, siasatan terkini mendapati perasaan dendam akibat cinta ditolak dipercayai menjadi motif pembunuhan pelajar berkenaan.
Katanya, suspek yang juga rakan sekelas mangsa dipercayai tidak berpuas hati selepas cintanya ditolak, selain mendakwa Irene Sofiya menjalin hubungan dengan rakan baiknya sendiri.
Beliau berkata, perkembangan itu diperoleh hasil soal siasat terhadap suspek yang ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Menurutnya, polis turut merampas beberapa barang berkaitan siasatan termasuk batang besi yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
Sebelum ini, media melaporkan Irene Sofiya ditemukan maut di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Seth, Yong Peng, Batu Pahat, pada 3 Oktober lalu.
Susulan kejadian itu, tiga remaja lelaki ditahan dengan seorang daripadanya direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tempoh reman terhadap suspek berusia 16 tahun itu turut disambung enam hari lagi bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Sumber - Threads / Sinar Harian