Sekilas
- Filem terbaru arahan Ariff Zulkarnain, Baga: Esok Untuk Siapa, sudah menarik perhatian ramai selepas trailer rasminya mendapat pelbagai reaksi positif netizen.
- Filem ini menonjolkan identiti dan budaya tempatan dengan penggunaan bahasa serta elemen kampung yang unik, disertai lagu nyanyian Allahyarham Saleem yang menyentuh hati penonton.
- Baga mengisahkan dua jiwa muda dalam kehidupan kampung konservatif, membabitkan tema cinta, impian, kemiskinan dan tradisi, dan akan ditayangkan di pawagam mulai 5 November.
Belum lagi menjengah pawagam, filem terbaharu arahan Ariff Zulkarnain, Baga: Esok Untuk Siapa sudah mula mencuri perhatian selepas pelancaran trailer rasminya yang mengundang pelbagai reaksi positif dalam kalangan netizen.
Dikenali menerusi kejayaan siri premium Good Boys Go To Heaven dan One Cent Thief, Ariff sekali lagi menarik perhatian peminat karya tempatan apabila tampil dengan sebuah naskhah yang dilihat mempunyai identiti dan pendekatan penceritaan tersendiri.
Meninjau ruangan komen di media sosial, rata-rata netizen meluahkan rasa teruja dengan paparan babak dalam trailer berkenaan, malah ada yang mengakui tidak sabar untuk menyaksikan filem itu di layar lebar.
“Padu!”
“Perghh, trailer pun dah macam ni eh!”
“Wahhh, tak sabarnya nak tengok!”
“Sumpah lain macam weh! Tak sabar, cepat-cepatlah keluar!” antara komen yang ditinggalkan netizen.
Bukan sekadar babak yang dipaparkan, penggunaan bahasa dan elemen budaya tempatan dalam BAGA turut mendapat perhatian apabila dianggap memberikan keunikan kepada filem berkenaan.
Malah, pemilihan lagu nyanyian Allahyarham Saleem yang mengiringi trailer itu turut menjadi antara perkara yang menarik perhatian penonton.
“Pergh, jahatlah cerita ni... masuk pula lagu Saleem. Perghh,” komen seorang pengguna media sosial.
Seorang lagi netizen turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha mengetengahkan keindahan bahasa dan identiti tempatan menerusi karya perfileman.
“Terima kasih boh-b2 sekalian mengangkat kemanisan karya dan bahasa kiter yang rare diperfileman,” tulisnya.
Reaksi awal tersebut memperlihatkan bagaimana BAGA mula menarik minat penonton, khususnya menerusi pendekatan yang menonjolkan identiti tempatan dalam penceritaannya.
Dengan sambutan yang diterima sejak pelancaran trailer, pastinya ramai yang tertanya-tanya apakah kejutan yang bakal dibawakan Ariff menerusi karya terbaharunya kali ini.
Filem Baga: Esok Untuk Siapa diterbitkan oleh Indigo Films dan Skop Productions membariskan pelakon Amir Ahnaf, Amirah Razak, Wan Hanafi Su dan ramai lagi.
Mengisahkan dua jiwa muda yang tersepit antara cinta, impian dan kehidupan yang semakin menghimpit.
Berlatar kehidupan masyarakat kampung yang konservatif, filem ini turut menyentuh isu kemiskinan, tradisi dan pilihan yang membawa kesan besar.
Nantikan filem Baga: Esok Untuk Siapa yang akan berada di pawagam bermula 5 November depan.