Penyanyi antarabangsa, Maher Zain menyifatkan pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai satu penghormatan besar buat dirinya.
Maher berkata, pertemuan itu berlaku ketika dirinya menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Ehsan, Bandar Kinrara, Puchong baru-baru ini.
Advertisement
“Kami berjumpa pada hari Jumaat dan tunaikan solat Jumaat bersama. Alhamdulillah ia adalah satu penghormatan besar buat saya.
“Sangat menakjubkan apabila bertemu dengan orang seperti Anwar di dalam masjid di mana kita lupa mengenai pangkat dan kedudukannya, menyedari kita semua adalah manusia biasa.
“Sungguh mengagumkan melihat betapa merendah dirinya Anwar. Masha-Allah, kalian sangat bertuah,” katanya.
Maher berkongsi perkara itu selepas menjayakan konsert The Journey To The Far East Maher Zain – The Live Experience di ibu negara pada Sabtu lalu.
Dalam pada itu, Maher turut menzahirkan rasa cintanya terhadap Malaysia yang dianggap sebagai rumah keduanya.
“Malaysia diibaratkan sebagai rumah kedua saya. Dahulu saya sering datang ke sini dan Malaysia juga memainkan peranan penting dalam kerjaya seni saya begitu juga dengan Asia Tenggara.
“Saya menerima banyak kasih sayang dan cinta di sini.
“Ketika saya mulakan album pertama saya, Thank You Allah, sasaran saya adalah umat Islam di Barat yang sering berdepan krisis identiti.
“Namun secara tiba-tiba, kami menerima begitu banyak cinta dan sokongan daripada Malaysia, Indonesia dan Brunei. Kemudian kami datang ke sini, memang menakjubkan,” ujarnya.
Maher yang kali terakhir mengadakan konsert solo di Malaysia enam tahun lalu, berjaya memukau ribuan peminat menerusi persembahan penuh penghayatan.
Konsert anjuran Yayasan Tengku Abdullah Ibni Sultan Abu Bakar dengan kerjasama Hitman Solutions dan Happymoon itu turut menyaksikan Maher menyanyikan deretan lagu popular daripada album sulungnya Thank You Allah (2009).
Antara lagu yang mengisi malam penuh emosi tersebut termasuk For the Rest of My Life, Baraka Allahu Lakuma, Insha Allah, Medina serta lagu perjuangan Palestine Will Be Free.