Sekilas
- Azhan Rani sentiasa mengosongkan jiwa sebelum memulakan penggambaran naskhah baru untuk memastikan watak yang dibawakan tidak terpengaruh dengan watak terdahulu.
- Walaupun watak yang dilakonkan ada persamaan, Azhan berusaha memberikan kelainan dengan bantuan pengarah yang teliti dan kawalan ketat semasa lakonan.
- Drama Bulan Henti Bicara yang turut dibintangi oleh beberapa pelakon lain disiarkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria dan boleh distrim di Sooka.
Pelakon, Azhan Rani mengakui setiap kali memulakan penggambaran naskhah baharu, dia perlu ‘mengosongkan’ jiwa bagi memastikan karakter dibawakan tidak dipengaruhi oleh watak-watak yang terdahulu.
Menurut Azhan, meskipun kebanyakan karakter yang dilakonkan mempunyai persamaan, namun dia tetap berusaha memberikan kelainan dalam setiap persembahan lakonannya.
“Setiap kalau saya berangkat ke naskhah baru, saya saya kosongkan jiwa dari segala apa yang saya perlu buat.
“Kalau nak katakan yang baru atau kelainan, agak sukar sebab pusing-pusing, sama sahaja. Cuma nama karakter dan tajuk drama yang berbeza,” ujarnya.
Tambah Azhan lagi, dia memerlukan kawalan daripada pengarah bagi mengelakkan dirinya terikat dengan kebiasaan ketika berlakon, sekali gus memastikan karakter yang ditampilkan benar-benar Jamali dan bukannya Azhan Rani.
“Namun saya dibantu oleh naskhah yang baik dan pengarah yang kuat OCD- nya, dia sangat teliti dan itu membantu saya sebagai pelakon.
“Saya dikawal oleh pengarah saya sebab saya sukar dikawal. Pengarah yang tahu arah Jamali harus pergi supaya saya tak terikat dengan kebiasaaan saya dan supaya yang keluar adalah Jamali dan bukan Azhan Rani,” jelasnya.
Selain Azhan, Bulan Henti Bicara dibintangi oleh Ezzanie Jasny, Azar Azmi, Ali Reza, Hushairi Husain, Farah Ahmad, Azri Iskandar, Qireen Din, Myra Afrina, Qaseh Izwandy, Qaiyum Aiesha dan Nik Ramly.
Saksikan Bulan Henti Bicara setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria (saluran 104), dan boleh distrim menerusi Sooka.