Sekilas
- Pelakon Sweet Qismina meluahkan rasa hairan terhadap individu yang gemar meninggalkan komen negatif menggunakan akaun palsu di media sosial.
- Sweet bertanya sama ada perbuatan itu didorong oleh pengalaman peribadi seperti trauma, buli atau rasa tersisih.
- Beliau menegaskan pentingnya memberi teguran secara berhemah dan berharap budaya menegur dengan cara baik dapat diamalkan.
Pelakon Sweet Qismina mempersoalkan motif individu yang gemar meninggalkan komen negatif menggunakan akaun palsu di media sosial.
Menerusi satu perkongsian di aplikasi Threads, Sweet atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi, 27, meluahkan rasa hairan terhadap sikap segelintir pengguna yang berani melemparkan kata-kata tidak wajar tanpa mendedahkan identiti sebenar.
“I wonder, apa motif orang yang suka komen bukan-bukan tapi gambar profil, following dan follower kosong? Puas hati ke boleh komen macam-macam sebab yakin orang tak akan kenal dia siapa?” tulisnya.

Dalam perkongsian sama, pelakon filem Babah itu turut bertanya sama ada perbuatan tersebut didorong oleh pengalaman peribadi seperti trauma, pernah dibuli atau rasa tersisih.
“Seronok ke? Pernah ada trauma ke? Pernah kena buli ke? Selalu rasa tersisih ke? Maaf tau, niat Sweet bukan nak perli. Cuma terfikir, tertanya dan nak tahu apa niat buat macam tu,” katanya lagi.
Sweet turut menegaskan terdapat perbezaan jelas antara memberi pendapat secara berhemah dan melemparkan kata-kata cacian, selain berharap budaya menegur dengan cara baik dapat diamalkan.
“Tak boleh ke kalau salah, tegur elok-elok dan yang orang salah tu pun terimalah dengan hati terbuka?” ujarnya.