Skip to main content

Berita Tempatan

Syafiq Kyle Harumkan Nama Malaysia Di Festival Filem Asia Pasifik Ke-62

capik_anugerah

Sekilas

  • Pelakon Syafiq Kyle dan filem Blood Brothers: Bara Naga raih pengiktirafan di Festival Filem Asia Pasifik ke-62 di Kuala Lumpur.
  • Blood Brothers: Bara Naga menang Anugerah Istimewa Juri manakala Syafiq Kyle dinobatkan sebagai Rising Icon APFF kategori lelaki.
  • Festival ini menghimpunkan karya dan bakat dari pelbagai negara Asia Pasifik, mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam industri perfileman serantau.

Nama Malaysia sekali lagi mencuri tumpuan di persada antarabangsa apabila pelakon berbakat besar, Syafiq Kyle dan filem aksi tempatan Blood Brothers: Bara Naga diraikan pada Festival Filem Asia Pasifik ke-62 (APFF62) yang berlangsung di Auditorium Bandaraya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada malam penuh prestij itu, Blood Brothers: Bara Naga menerima Anugerah Istimewa Juri, manakala Syafiq Kyle pula mencipta detik membanggakan dalam kerjayanya apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Rising Icon APFF bagi kategori lelaki.

Dua pengiktirafan berkenaan sekali gus mengangkat nama Malaysia sebagai antara kuasa baharu dalam industri perfileman rantau Asia Pasifik, baik dari sudut karya mahupun bakat lakonan.

Festival APFF62 dianjurkan oleh Federation of Motion Picture Producers in Asia-Pacific (FPA) dengan kerjasama FINAS, Tourism Malaysia dan Lomo Pictures, menghimpunkan karyawan filem, selebriti serta tenaga kreatif dari pelbagai negara dalam suasana penuh gemilang.

Penyertaan edisi kali ini melibatkan pelbagai negara termasuk Iran, Jepun, Nepal, Indonesia, Singapura, China, Bangladesh, Korea, India dan Thailand, sekali gus mencerminkan kepelbagaian budaya dan kekuatan sinema Asia Pasifik.

Setiausaha Agung FPA, Pansha, berkata pemilihan Syafiq Kyle sebagai penerima anugerah dibuat secara sebulat suara berdasarkan prestasi konsisten serta pengaruhnya yang semakin kuat dalam industri perfileman Malaysia.

“Anugerah ini diperkenalkan tahun ini untuk menaikkan lagi taraf APFF. Kami memilih Syafiq kerana mahu memberi ruang kepada pelakon muda yang menyerlah, bukan sekadar mengiktiraf nama-nama veteran setiap tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Blood Brothers: Bara Naga turut tampil sebagai antara karya paling mendapat perhatian dalam saingan 12 filem yang dicalonkan pada festival berkenaan.

Antara filem lain yang turut bertanding ialah 6AM, Crocodile Tears, Happyend, LUZ, Shambhala, Saba, The Roots, Shadowbox dan Regretfully at Dawn.

Selain kejayaan Syafiq Kyle, dua tokoh antarabangsa turut menerima penghormatan utama pada APFF62 iaitu aktor legenda Hong Kong, Simon Yam, yang dianugerahkan Lifetime Achievement Award, manakala bintang muda Thailand, Tontawan Tantivejakul, menerima FPA Asia-Pacific Rising Icon Award bagi kategori wanita.

APFF62 turut menobatkan beberapa penerima lain, antaranya FPA Most Promising Icon Award: Lin Min Chen (Malaysia) dan FPA Cultural Impact Award: Kungfu Juniors arahan Gao Zhisen.

Penganjuran tahun ini sekali lagi membuktikan kekuatan sinema Asia Pasifik dan peranan Kuala Lumpur sebagai hos bertaraf antarabangsa yang memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri kreatif serantau.

Senarai Pemenang APFF62

Filem Pendek Terbaik: Come Find Me
Media Baharu Terbaik: –
Skor Muzik Asal Terbaik: Shambhala
Suntingan Terbaik: LUZ
Skrip Asal Terbaik: Shadowbox
Sinematografi Terbaik: Happyend
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Rokeya Prachy – Saba
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Xiao Dong Guo – LUZ
Pelakon Wanita Terbaik: Tillotama Shome – Shadowbox
Pelakon Lelaki Terbaik: Yukito Hidaka – Happyend
Pengarah Terbaik: Neo Sora – Happyend
Filem Terbaik: Crawling Crows: AANKHA

Must-Watch Video

Advertisement