Sekilas
- Syahrini kembali aktif dalam dunia seni dengan single terbaru berjudul Kau Yang Utama selepas tujuh tahun menyepi.
- Dia mendedahkan pernah mengalami dua kali keguguran, termasuk kehilangan anak kembar, sebelum kelahiran Baby R.
- Syahrini juga berkongsi bahawa Baby R mempunyai tiga kakak yang meninggal dalam kandungan, dan kisah ini mendapat sokongan serta doa daripada peminat.
Penyanyi Syahrini yang sempat menyepi sekitar tujuh tahun selepas berkahwin kini kembali ke persada seni dengan memperkenalkan single terbaharu yang diberi judul Kau Yang Utama. Seiring kembali menemui peminat, isteri Reino Barack ini turut berkongsi mengenai kehidupannya selama jauh dari sorotan kamera. Salah satu pengakuan yang menjadi tumpuan peminat adalah wanita berusia 46 tahun itu mendedahkan pernah mengalami dua kali keguguran sebelum menimang cahaya mata yang digelar Baby R. Malah Syahrini mengaku, salah satu kehamilannya, dia keguguran anak kembar. "Keguguran yang pertama, kemudian saya keguguran lagi yang kedua. Lagi traveling jadi tidak tahu hamil. “Ternyata sudah hamil satu bulan setengah. Lepas hari kedua di New York saya alami pendarahan. Dibawa ke klinik, ternyata anakku kembar dua. Itu sedihnya melebihi putus cinta," ujar Syahrini sewaktu berkongsi kisah di YouTube miliknya, seperti dilaporkan Kapanlagi. Dalam kesempatan yang sama, Syahrini juga mengesahkan Baby R yang lahir enam tahun setelah keguguran memiliki tiga kakak yang meninggal di dalam kandungan. "Enam tahun berjuang. Kakaknya (Baby R) ada tiga orang, sebelum itu yang insya Allah sudah menunggu di pintu syurga, aamiin," lanjut Syahrini. Pengakuan tersebut mendapat sambutan hangat dalam kalangan peminat. Ramai yang terkejut lalu mendoakan agar Syahrini memperoleh kehidupan yang baik. Mereka menyifatkan kehilangan anak yang dikandung sebanyak tiga kali sebagai tabungan di akhirat.