Pelakon, Syarul Ezani akui dirinya pernah berdepan detik cemas apabila diganggu oleh seorang ‘stalker’.
Menurut Syarul atau nama lengkapnya Syarul Ezani Mohamed Ezzudeen individu tersebut sering muncul di acara-acara yang melibatkannya termasuk majlis pelancaran drama atau sesi meet and greet sehingga menyebabkan dia berasa tidak selesa dan mula mengalami anxiety.
“Ya, saya mengaku saya ada stalker. Bila saya ada event atau meet and greet, dia akan show up. Kebiasaannya bila dia muncul, pasti akan ada sedikit kekecohan dan saya jadi anxiety bila memikirkan perkara itu,” katanya kepada Gempak.
Advertisement
Meskipun cuba memahami situasi individu berkenaan, pelakon drama Honey Trap berharap pihak sekeliling terutama keluarga dapat memainkan peranan untuk membantu sebelum keadaan menjadi lebih serius.
“Saya faham dia juga manusia, saya tak tahu apa yang terjadi kepadanya. Tapi saya rasa orang di sekeliling perlu bertanggungjawab untuk bantu dia kerana benda ini tidak sihat.
“Keluarga perlu main peranan sebelum perkara jadi lebih teruk,” ujarnya.
Bagi memastikan keselamatannya, pelakon itu menjelaskan bahawa dia kini lebih berhati-hati dan memilih untuk tidak terlalu berkongsi lokasi atau aktiviti peribadi di media sosial.
“Untuk keselamatan saya, apa yang saya dan pihak pengurusan boleh buat, kami akan buat. Ada sebab juga mengapa saya tidak terlalu berkongsi tentang keberadaan saya di sosial media.
“Saya hargai peminat-peminat saya sebab tanpa mereka saya tiada di sini. Tapi kadang kala saya rasa kesian dengan mereka sebab saya perlu beredar awal dari lokasi kerana perkara-perkara seperti ini.
"Saya juga rasa tidak sedap dengan pihak produksi sebab saya seharusnya berada di lokasi bagi mempromosikan karya saya,” jelasnya.
Syarul ditemui Gempak sewaktu media visit untuk filem terbaharunya, Akad Yang Hilang di sebuah hotel di Ibu Kota.