Sekilas
- Syatilla Melvin menyeru mangsa lelaki narsisistik supaya berani mendapatkan bantuan dan masyarakat perlu lebih peka terhadap isu ini.
- Syatilla menegaskan sokongan keluarga penting untuk memastikan mangsa tidak terus terperangkap dalam situasi berbahaya.
- Tular video adik Syatilla, Syida, yang meminta bekas suaminya, Syafiq, keluar dari rumah selepas perceraian mereka pada Ogos lalu.
Pelakon, Syatilla Melvin menyeru agar mangsa-mangsa yang berdepan dengan individu atau lelaki narsisistik untuk tampil berani dan tidak takut mendapatkan bantuan.
Menerusi perkongsian di Threads, Syatilla menegaskan masyarakat sekeliling juga perlu lebih peka terhadap isu melibatkan individu yang mempunyai kecenderungan narsisistik kerana perkara itu tidak seharusnya dipandang remeh.
“Mangsa mangsa lelaki nars tolong bangun dan jangan takut! Orang keliling tolong aware dan buka mata pasal isu manusia sakit mental macam ni,” tegasnya.
Malah, Syatilla turut menegaskan bahawa sokongan daripada keluarga dan orang terdekat amat penting bagi memastikan mangsa tidak terus terperangkap dalam situasi yang boleh menjejaskan keselamatan diri mereka.
Malah kata Syatilla, ahli keluarga juga harus mengambil tahu keadaan orang tersayang terutama jika terdapat perubahan tingkah laku atau tanda-tanda mereka sedang berdepan masalah.
“Adik-beradik, keluarga, tolong jangan ambil mudah. Cek anak, keluarga keliling, jangan biar diorang tanggung sorang-sorang.
“Jangan sampai hilang nyawa baru kita nak menyesal. Nauzubillah,” coretnya.

Terdahulu, tular beberapa keratan video siaran langsung TikTok memaparkan adik kepada Syatilla iaitu Syida yang meminta bekas suaminya, Syafiq meninggalkan kediaman bagi membolehkannya kembali menetap bersama anak-anak.
Dalam rakaman tersebut, Syafiq dilihat meneruskan aktivitinya seperti biasa, termasuk menunaikan solat, ketika Syida menyuarakan rasa tidak puas hati.
Bagaimanapun, dakwaan yang dibangkitkan Syida belum mendapat pengesahan dan penjelasan Syafiq berhubung perkara tersebut perlu diperoleh bagi memberikan gambaran yang seimbang.
Untuk rekod, Syida atau nama sebenarnya Syida Nur Syifa Assyida Amirol Melvin dan Syafiq dilaporkan bercerai talak satu pada 12 Ogos lalu selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga cahaya mata.