Sekilas
- Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, telah membelanjakan RM429,852.50 daripada RM650,959.21 dana sumbangan untuk pelbagai inisiatif kebajikan di Muar.
- Dana digunakan untuk menyediakan 2,500 set Foodbank, 51 iPad, 100 komputer riba, dan bantuan banjir kepada kira-kira 50 keluarga.
- Tiada kos pentadbiran diambil daripada dana tersebut walaupun garis panduan NGO membenarkan sehingga 30%, memastikan 100% dana digunakan untuk rakyat Muar.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkongsi perkembangan terkini mengenai penggunaan dana hasil sumbangan yang disalurkan menerusi kempen untuk membantu penduduk di Muar.
Menerusi hantaran di Threads, Syed Saddiq memaklumkan daripada jumlah keseluruhan RM650,959.21 yang berjaya dikumpulkan, sebanyak RM429,852.50 telah dibelanjakan bagi pelbagai inisiatif kebajikan.
Menurutnya, dana tersebut digunakan untuk menyediakan 2,500 set Foodbank bernilai RM136,575, pembelian 51 buah iPad berjumlah RM99,909, selain 100 buah komputer riba bernilai RM175,000.
Bukan itu sahaja, sebanyak RM18,368.50 turut disalurkan sebagai bantuan banjir kepada kira-kira 50 keluarga yang terjejas dan baki dana sebanyak RM221,106.71 akan terus dimanfaatkan sepenuhnya bagi membantu rakyat di Muar.
“Update dari Muar: Daripada RM650,959.21, kita sudah belanjakan RM429,852.50.
“Untuk apa? RM136,575 untuk 2,500 set Foodbank, RM99,909 untuk 51 buah iPad, RM175,000 untuk 100 buah laptop dan RM18,368.50 untuk bantuan banjir kepada kira-kira 50 keluarga.
“Baki RM221,106.71 akan terus digunakan untuk rakyat Muar,” katanya.
Apa yang mencuri perhatian, beliau turut menegaskan bahawa tiada sebarang kos pentadbiran diambil daripada dana berkenaan meskipun garis panduan tadbir urus NGO membenarkan sehingga 30 peratus diperuntukkan bagi tujuan tersebut.
“Walaupun garis panduan tadbir urus NGO membenarkan kos pentadbiran sehingga 30 peratus, untuk kempen ini keputusan kami jelas, 0 peratus untuk kos pentadbiran. 100 peratus untuk Muar,” katanya.
Sumber - Threads