Sekilas
- Syed Saddiq dan Bella Astillah bekerjasama dengan PTTI melancarkan kelas tuisyen Matematik percuma secara dalam talian untuk pelajar Tingkatan 4 Batch 09 calon SPM 2026.
- Inisiatif "Generasi Pandai Matematik" ini bertujuan memperkukuh asas Matematik dan memberi akses pembelajaran berkualiti tanpa bayaran kepada 20,000 pelajar di seluruh Malaysia.
- Pelancaran program di IDCC Shah Alam diserikan dengan kehadiran hampir 1,000 calon SPM dan duta rasmi PTTI, Iman Troye, yang memberi kata-kata semangat.
Usaha memperkasa pendidikan negara terus dipertingkatkan apabila Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama selebriti terkenal Bella Astillah, menjalin kerjasama strategik dengan PTTI untuk melancarkan Online Tuition Class (OTC) Matematik secara percuma yang dikhususkan untuk pelajar Tingkatan 4 Batch 09 yang juga calon SPM 2026.
Dilaksanakan bersempena tema Generasi Pandai Matematik, inisiatif pendidikan berskala besar ini bertujuan mengukuhkan asas Matematik, meningkatkan keyakinan pelajar, serta memberi peluang kepada lebih ramai remaja mendapat akses pembelajaran berkualiti tanpa sebarang bayaran.
Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau Cikgu Fana, berkata inisiatif ini membuktikan komitmen PTTI untuk menyediakan akses pendidikan berkualiti secara inklusif.
"Kami percaya setiap pelajar berhak mendapat peluang pembelajaran yang adil. Dengan OTC Matematik ini, PTTI mahu membantu 20,000 pelajar Batch 09 SPM 2026 bermula awal, membina asas yang kukuh, serta memastikan mereka mampu melangkah ke SPM dengan yakin.
“PTTI komited menjadi rakan pembelajaran utama yang menyokong potensi dan kecemerlangan generasi muda,” katanya.

Sementara itu, Syed Saddiq menegaskan kerjasama ini adalah langkah penting dalam memastikan pendidikan berkualiti dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
"Kita mahu memastikan anak muda hari ini tidak tercicir hanya kerana kekangan kos. Pendidikan berkualiti mesti boleh diakses semua, bukan hanya mereka yang mampu. Kerjasama dengan PTTI ini adalah usaha untuk membuka lebih banyak ruang kepada pelajar mempersiapkan diri menuju masa depan yang lebih cerah.
“Saya percaya dengan persediaan awal, sokongan tepat dan guru yang berdedikasi, pelajar kita mampu menjadi generasi yang lebih yakin, mahir dan berdaya saing,” katanya.
Majlis pelancaran telah berlangsung meriah pada program Roadtour Mula Awal Straight A SPM 2026 PTTI di IDCC Shah Alam, dengan kehadiran hampir 1,000 calon SPM dari seluruh negara.
Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran duta rasmi PTTI, Iman Troye, yang memberikan kata-kata semangat kepada para pelajar.
Inisiatif ini terhad kepada 20,000 pelajar Batch 09 dari seluruh Malaysia. Pelajar yang berminat boleh mendaftar melalui pautan rasmi www.ptti.my