Sekilas
- Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, bakal melangsungkan perkahwinan dengan pelakon dan penyanyi Bella Astillah tidak lama lagi dan mengakui masih tenang serta tidak sabar untuk menghalalkan hubungan mereka.
- Majlis pernikahan mereka akan diadakan di Menara Merdeka 118, menjadikan mereka pasangan pertama yang diijabkabulkan di bangunan ikonik tersebut hasil kolaborasi Astro dan Precinct Merdeka 118.
- Pasangan ini juga merancang beberapa majlis resepsi di Kuala Lumpur, Muar, Johor dan Sabah bagi meraikan hari bahagia mereka bersama keluarga dan rakan-rakan.
Tinggal beberapa hari lagi sebelum bergelar suami, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui masih tenang menanti hari pernikahannya dengan pelakon dan penyanyi, Bella Astillah.
Jelas Syed Saddiq, pada waktu ini dia hanya rasa tidak sabar untuk menghalalkan hubungan mereka selain berkongsi hari bahagia berkenaan bersama insan tersayang.
“Saya tak berdebar. Sejujurnya, saya tak sabar nak menghalalkan hubungan kami dan tak sabar-sabar untuk kongsikan hari yang bahagia ini kepada semua.
“Khususnya keluarga, ibu ayah, mama pun ada sekali pada sidang media hari ini. Kawan-kawan yang dah lama menunggu. So, to be honest, lebih impatient bukan berdebar,” katanya.
Syed Saddiq berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq di Kuala Lumpur Golf & Country Club pada Jumaat.
Sekadar info, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sah mengikat tali pertunangan dengan pelakon dan penyanyi Bella Astillah pada 28 Mac 20026 di ibu negara.
Dalam majlis berkenaan, pihak Bella menerima lima dulang hantaran dan membalas dengan tujuh dulang kepada pihak Syed Saddiq.
Pasangan ini akan d disatukan di bangunan ikonik negara dan bakal mencipta sejarah sebagai pasangan pertama yang diijabkabulkan di menara tersebut.
Lokasi pernikahan ini direalisasikan menerusi kolaborasi istimewa antara Astro dan Precinct Merdeka 118, menjadikan ikon Kuala Lumpur itu sebagai latar eksklusif untuk hari bahagia pasangan pengantin.
Majlis perkahwinan Bella dan Syed Saddiq tidak terhenti pada satu acara sahaja apabila mereka merancang untuk mengadakan beberapa majlis resepsi di tiga lokasi iaitu Kuala Lumpur, Muar, Johor dan Sabah.