Sekilas
- Syida Melvin menyerahkan isu tunggakan hutang syarikat bersama suaminya kepada peguam selepas perbincangan sejak Mei gagal mencapai penyelesaian.
- Dia berharap kemelut rumah tangga dan urusan syarikat dapat diselesaikan jika perceraian berlaku.
- Prosiding lafaz cerai Syida dan suami ditangguhkan ke 12 Ogos, dengan mereka berkahwin sejak 2019 dan mempunyai tiga anak.
Pelakon dan usahawan, Syida Melvin mendedahkan pelbagai usaha telah dilakukan mengenai isu tunggakan hutang membabitkan syarikat yang diusahakan bersama suaminya, Mohamad Syafiq Azim Shaheen, namun masih belum menemui jalan penyelesaian.
Menurut Syida atau nama sebenarnya Nur Syida Abdul Melvin, 31, dia kini menyerahkan perkara itu kepada peguam sivil selepas perbincangan yang berlangsung sejak Mei lalu gagal mencapai kata sepakat.
"Sebenarnya isu itu belum diselesaikan cuma saya menyerahkan kepada peguam sivil untuk berbincang dengan dia (suami).
"Saya sudah bagi peluang untuk selesaikan perkara ini dengan baik tetapi dia enggan melunaskan hutang-hutang syarikat atas nama saya kerana kami ada syarikat bersama.
"Sampai sekarang saya masih tak dapat hak saya dan sehingga kini isu berkaitan masalah dan hutang syarikat masih tergantung," katanya.
Syida berkata demikian ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, pada Khamis.
Bagaimanapun, Syida berharap segala urusan termasuk syarikat yang dibangunkan bersama suaminya itu dapat ditamatkan sekiranya kemelut rumah tangga mereka berakhir dengan perceraian.
"Saya rasa cukup sampai sini saja. Kemelut rumah tangga kami mungkin selesai (bercerai) selepas ini, sudah tiada apa-apa ikatan.
"Syarikat bersama itu juga saya harap sampai di sini saja, disebabkan itu masalah-masalah sebelum ini masih belum dapat diselesaikan.
"Saya kini dalam usaha untuk menyelesaikan semua masalah ini (perniagaan) melalui peguam kerana perbincangan yang dibuat dari Mei sampai Ogos masih tiada sebarang tindakan," ujarnya.
Sebelum ini, Syida pernah berkongsi tentang isu hutang tertunggak melibatkan sebuah syarikat di bawah namanya.
Syida mendakwa segala usaha untuk meminta suaminya melunaskan hutang tersebut gagal apabila masih tertunggak sehingga kini.
Pada Khamis, peguam yang mewakili Syida iaitu Nurul Jamaliah memaklumkan prosiding lafaz cerai ditangguhkan pada 12 Ogos berikutan plaintif dalam keadaan tidak suci.
Pada Disember tahun lalu, Syida dilaporkan telah memfailkan cerai terhadap suaminya, Syafiq di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor.
Untuk rekod, Syida mendirikan rumah tangga dengan Mohamad Syafiq Azim Shaheen, 37, pada 19 Januari 2019.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Safa Safeera, Sara Sajedda dan Serhan Isa.