Sekilas
- Syifa Melvin beri kata semangat kepada adiknya, Syida Melvin, supaya terus melangkah dan merancang kehidupan lebih baik selepas menghadapi dugaan.
- Syida jelaskan dia sudah lapan bulan keluar dari rumah bersama anak-anak demi menjaga kesejahteraan mental dan fizikal akibat layanan penderaan emosi.
- Syifa mengibaratkan dugaan yang dilalui seperti hujan yang akan disusuli pelangi, memberi harapan positif buat adiknya.
Pelakon Syifa Melvin menitipkan kata-kata semangat buat adiknya, Syida Melvin agar terus melangkah dan merancang kehidupan lebih baik selepas berdepan dugaan.
Menerusi perkongsian di Threads, Syifa berkata, mereka sudah berusaha, namun usaha tersebut tidak membuahkan hasil seperti diharapkan.
“Buat Syida, teruskan melangkah. Kita rancang yang lebih baik. Allah SWT sahaja yang boleh balas, bukan kerja kita dah.
“Usaha kita dah buat tetapi tidak berhasil. Lenyapkan segala memori, jalan terus,” tulisnya.
Dalam perkongsian sama, Syifa turut mengakui keletihan emosi dan tidak menyangka perkara tersebut mendapat perhatian besar.
“Dahlah semua, penatlah, emosi pun dah habis. Maaf buat korang tak jadi kerja hari ini, tak sangka nak jadi besar macam ini,” katanya.
Bagaimanapun, Syifa tetap menyelitkan kata-kata positif buat adiknya dengan mengibaratkan dugaan yang dilalui sebagai hujan yang akhirnya akan disusuli pelangi.
“Pelangi akan muncul selepas hujan, apatah lagi kes hang ini, banjir kot,” ujarnya.
Terdahulu, Syida tampil memberikan penjelasan berhubung isu kediaman bersama bekas suaminya selepas beberapa video tular di media sosial.
Syida mendakwa sudah lapan bulan keluar dari rumah bersama anak-anak demi menjaga kesejahteraan mental dan fizikal mereka susulan layanan yang didakwanya berbentuk penderaan emosi.
Menurutnya, selepas bercerai dan tamat tempoh idah, dia mahu kembali ke kediaman tersebut bersama anak-anak bagi membolehkan mereka meneruskan persekolahan.
Sumber: Threads