Penyanyi, Syura Badron berkongsi khabar gembira apabila memaklumkan dirinya kini telah keluar daripada Unit Rawatan Ketergantungan Tinggi (HDU) selepas beberapa hari menerima rawatan di sebuah hospital.
Menerusi hantaran di Instagram miliknya, Syura meluahkan rasa syukur dan lega dengan perkembangan positif itu serta berterima kasih kepada semua yang mendoakan kesembuhannya.
“Bismillah..MasyaAllah, syukur Alhamdulillah ya Allah, saya dah keluar HDU! Yahooo! Tak best wei kat HDU tu sebab tak boleh pergi toilet.
"Tak apa ujian datang sebab Allah sayang! Saya ready untuk rawatan seterusnya kat wad pula harap-harap tak lama duduk hospital ni.
“Terima kasih untuk doa-doa kalian yang ikhlas untuk saya, hanya Allah dapat membalas. Hugs,” tulisnya.
Pelantun lagu Nazam Berkasih itu juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak hospital yang telah merawatnya sebaik mungkin.
Terdahulu, suami kepada penyanyi Syura Badron, iaitu Muhammad Farizat Ismail, memaklumkan bahawa isterinya kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Ketergantungan Tinggi (HDU) di sebuah hospital.
Menerusi hantaran di Instagram Story, Farizat berkongsi gambar pintu masuk ke unit HDU, memohon orang ramai mendoakan kesembuhan buat isterinya.