Sekilas
- Pelakon Hannah Delisha meluahkan rasa kesal terhadap tindakan penderaan haiwan yang tular di media sosial.
- Hannah menegaskan perbuatan kejam itu menunjukkan tiada belas kasihan dan perlu dihukum.
- Orang ramai menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pelaku penderaan tersebut.
Pelakon, Hannah Delisha meluahkan rasa kesal dan kecewa terhadap tindakan individu yang tergamak melakukan penderaan terhadap haiwan sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai.
Menurut Hannah, perbuatan kejam seperti itu jelas menunjukkan ketiadaan sifat perikemanusiaan dan belas kasihan terhadap makhluk yang tidak berdaya.
“Saya rasa perbuatan seperti itu memang tiada perikemanusiaan. Kalau sanggup melakukan sesuatu yang kejam seperti itu, maknanya langsung tiada belas kasihan dalam diri mereka.
“Kalau boleh buat perkara sebegitu terhadap kucing, mereka juga boleh melakukan perkara sama terhadap sesiapa sahaja.
“Memang perlu dihukum sebenarnya. Perbuatan itu bukan sesuatu yang betul,” katanya.
Terdahulu, tular sebuah video di media sosial yang memaparkan kejadian penderaan terhadap seekor kucing sehingga mengundang kemarahan dalam kalangan netizen.
Insiden tersebut mencetuskan pelbagai reaksi orang ramai yang rata-ratanya mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan itu.
Malah, netizen turut mengharapkan agar pihak bertanggungjawab menjalankan siasatan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang terlibat supaya kejadian sama tidak berulang.