Sekilas
- Tareq Fit menjelaskan tegurannya terhadap lelaki yang memakai alat solek bukan bertujuan menjatuhkan mana-mana individu, termasuk Ojen Aiwahhh.
- Teguran itu dibuat atas dasar nasihat sesama Muslim dan tanggungjawab untuk mengingatkan bahawa meniru penampilan wanita adalah dilarang dalam Islam.
- Tareq menegaskan isu ini bukan berkaitan dengan mana-mana individu atau jenama tertentu, dan memohon maaf jika berlaku salah faham.
Personaliti media sosial, Tareq Fit, tampil memberikan penjelasan berhubung salah faham yang timbul susulan tegurannya terhadap lelaki yang mengenakan alat solek.
Penjelasan tersebut dilakukan selepas Tareq selesai memberikan keterangan di IPD Kemaman pada Khamis.
Menerusi video pendek yang dimuat naik di platform media sosial miliknya, Tareq memaklumkan tegurannya sebelum ini sama sekali tidak bertujuan untuk menjatuhkan mana-mana individu, termasuk usahawan dan pempengaruh, Ojen Aiwahhh.
Malah jelas Tareq, teguran yang diberikan adalah bersifat umum dan dibuat dengan niat untuk memberikan nasihat sesama Muslim.
“Saya baru selesai dari IPD Kemaman, berkenaan isu Ojen, Ojen salah faham ingat saya nak jatuhkan nama dia, ingat saya nak bermusuh dengan dia. Tidak.
“Ya saya buat teguran, cara saya memang pedas, cara saya memang tegas untuk ramai orang dapat kesedaran.
“Saya sebagai seorang muslim, berikan nasihat dari muslim ke muslim, sesama agama, untuk ramai lelaki supaya janganlah pakai make up, janganlah imut perangai perempuan,” jelasnya.
Ujarnya lagi, nasihat tersebut juga dibuat atas dasar tanggungjawab, memandangkan perbuatan lelaki meniru penampilan wanita adalah perkara yang dilarang dalam ajaran Islam
“Sebab benda ini salah, benda ini dapat laknat daripada Rasulullah S.A.W. Kita nak elakkan azab Allah S.W.T.
“Bayangkan tak ada orang buat teguran lepas itu korang buat dosa depan orang, maksiat menjadi biasa, apa akan berlaku akhirat nanti?” ujarnya.
Dalam video yang sama, Tareq sekali lagi menegaskan bahawa isu berkenaan tidak berkait dengan mana-mana individu, bangsa atau jenama tertentu, sebaliknya hanya salah faham yang berlaku.
“Jadi terima teguran walaupun pedas lagi baik daripada korang dapat azab masa akhirat. Ya kita kena menjadi tegas, straigh forward untuk ramai orang dapat kesedaran sebab ramai dah normalise lelaki pakai make up.
“Tak ada kena mengena dengan jenama atau nama Ojen, cuma dia salah faham sahaja. Ramai orang salah faham pasal saya sebab saya warga asing.
“Saya minta maaf pada semua jika anda salah faham. Jangan salah faham, seorang muslim ke muslim.
“Tak ada kena mengena dengan bangsa atau personal. Mungkin Allah S.W.T akan berikan hidayah melalui video ini,” tegasnya.
Terdahulu, Ojen sebelum ini meluahkan rasa kecewa selepas menerima komen keterlaluan berhubung penampilannya baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di Threads, Ojen atau nama sebenarnya Mohd Ruzain Ahda Mohd Rosli berkata dia sudah lama bersabar dengan kecaman orang ramai, namun kali ini tidak lagi mampu berdiam diri selepas dihina secara melampau oleh individu berkenaan.
Susulan itu, Ojen menuntut permohonan maaf individu tersebut secara terbuka atau dia tidak akan teragak-agak untuk membawa kes ini ke mahkamah.