Penyanyi dan pelakon, Erra Fazira tidak pernah berniat untuk menunjuk-nunjuk atau bersikap riak setiap kali berkongsi tentang kejayaan anak perempuannya, Engku Aleesya di media sosial.
Menurut Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 51, niatnya sekadar meraikan kejayaan anak seperti mana dilakukan oleh kebanyakan ibu bapa lain, namun memahami bahawa setiap orang mempunyai cara penerimaan berbeza.
Advertisement
“Kadang-kadang manusia ini hati mereka lain-lain, jadi penerimaan mungkin berbeza.
“Bagi saya, kalau nak melihat perkara itu sebagai satu benda yang positif, jadikan ia sebagai semangat buat anak-anak.
“Kalau tengok dari sudut positif, ia akan jadi positif. Tapi kalau orang itu mata dia ‘sakit’, maka itu hak dia untuk berkata-kata. Bagi saya, pilihlah yang positif kerana semuanya kembali kepada hati masing-masing,” katanya ketika ditemui pada satu program riadah bersama media di Sepang, baru-baru ini.
Erra dalam pada itu berkata, dia sendiri berhati-hati apabila memuat naik sebarang hantaran mengenai pencapaian anaknya bagi mengelak salah faham daripada segelintir pihak.
“Saya rasa kalau bahagian saya, saya tidaklah berkongsi terlalu jelas tentang keputusan anak sebab saya pun risau ada mata-mata yang ‘sakit’ melihat hantaran saya.
“Jadi saya sangat umumkan saja, saya cuma ucapkan tahniah,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, pelakon filem Maria Mariana itu turut diraikan sempena tiga tahun pelantikannya sebagai duta jenama makanan Captain Dolphin.
Pada majlis sama, jenama tersebut memperkenalkan tiga perisa baharu konjac jeli iaitu calamansi, karamel dan kola, selain enam produk terbaharu lain seperti magic balls, crystal bubble, coco cube, nata de coco, jelly yogurt dan pudding yogurt.
Untuk rekod, Erra mula bekerjasama dengan jenama tersebut sejak tahun 2022.