Sekilas
- Isa Khan meluahkan rasa kecewa dengan jalan cerita drama TV Melayu masa kini yang banyak memaparkan adegan tidak senonoh dan unsur ‘soft porn’ demi menaikkan rating.
- Beliau menegaskan drama sepatutnya sesuai untuk tontonan umum termasuk kanak-kanak, dan mengkritik penceritaan yang terlalu fokus pada isu negatif seperti ‘penyondol’.
- Isa berharap karya drama akan datang lebih bermanfaat dan tidak mencemarkan imej agama serta memberi pengaruh buruk kepada masyarakat, sokongan netizen turut mengalir terhadap pandangannya.
Perkongsian pelakon Isa Khan yang meluahkan pendapatnya mengenai jalan cerita drama TV masa kini menarik perhatian netizen.
Menerusi perkongsian tersebut, suami kepada aktres Nur Risteena ini mendakwa babak-babak dalam drama kini kebanyakkannya berunsur ‘soft porn’ termasuklah mempertengahkan isu ‘penyondol’.
“Drama melayu sekarang banyak yang tak senonoh. Banyak adegan yang berunsurkan ‘soft porn’ hanya sebab nak naikkan rating, sampai menggadaikan maruah agama.
“Drama TV ni dah la untuk tontonan umum, budak kecil pun tengok kot. Tak habis-habis cerita fasal penyondol, patutlah ramai orang tak tengok TV dah,” kongsinya.
Pada perkongsian yang sama, Isa turut berharap selepas ini banyak lagi karya yang lebih bermanfaat berbanding memberi pengaruh buruk kepada masyarakat.
“Nak berkarya biarlah yang ada manfaat untuk orang lain, bukan hanya untuk kepuasan sendiri dan mencemarkan imej agama islam serta pengaruh buruk kepada masyarakat,” katanya lagi.
Rat-rata netizen turut menyokong pendapat Isa dan berharap Malaysia mengeluarkan karya yang lebih baik selepas ini.
Threads - Isa Khan