Skip to main content

Selebriti

Tak Nak Peminat Beratur Sampai Malam, Khairul Aming Jelaskan ‘Rembayung’ Hanya Guna Sistem Tempahan - “Tiada Walk In, Hanya 200 Orang Dalam Satu Masa”

Khairul Aming

Sekilas

  • Khairul Aming mengumumkan pembukaan restoran pertamanya, Rembayung, yang akan beroperasi mulai Januari tahun depan dengan kos pelaburan sekitar RM4 juta.
  • Restoran ini hanya menerima pelanggan melalui sistem tempahan sahaja dan tidak membenarkan walk-in untuk mengelakkan kesesakan dan masalah keselamatan.
  • Pengunjung digalakkan menggunakan pengangkutan awam, carpooling, atau e-hailing kerana lokasi restoran yang dekat dengan monorail dan kapasiti maksimum hanya 200 orang pada satu masa.

Usahawan dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming berkongsi beberapa langkah khas bagi memastikan kelancaran operasi serta keselesaan pengunjung sempena pembukaan restoran pertamanya ‘Rembayung’ tidak lama lagi.

Menerusi siaran langsung di media sosial, Khairul Aming berkata penggunaan pengangkutan alternatif amat digalakkan bagi mengelakkan kesesakan di kawasan sekitar premis.

“Saya nak latih anda semua satunya tolong carpooling, kedua public transport sebab restoran kita sangat dekat dengan monorail, walkable sahaja lima minit dah sampai dan ketiga, naik perkhidmatan e-hailing,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Khairul Aming juga menegaskan bahawa restoran tersebut akan beroperasi menerusi sistem tempahan (reservation only) sahaja tanpa membenarkan sebarang walk-in.

Jelasnya lagi, langkah itu diambil bagi mengelakkan situasi tidak diingini seperti pelanggan beratur selama berjam-jam sehingga menimbulkan isu keselamatan, keselesaan dan kesesakan trafik.

Selain itu, Khairul Aming juga memaklumkan kapasiti restoran hanya mampu menerima sekitar 200 orang dalam satu masa dan sistem tempahan diperlukan bagi mengawal jumlah pengunjung.

“Untuk pembukaan restoran nanti kita memang akan go for reservation sahaja. Tiada walk in, KA tak akan buat walk in.

“Saya tak nak anda beratur dalam panas, hujan sebab akan ada orang yang beratur daripada malam lagi.

“Ini bukan kata syok sendiri ke apa tetapi ia akan berlaku sebab kita ada berjuta followers, jadi akan ada yang nak jadi yang terpantas dan terawal.

“Tapi tak boleh, saya tidak akan benarkan sebab tak bagus untuk semua orang, tak bagus untuk pelanggan, kami, jiran-jiran kita, trafik dan semua pihak.

“Sebab nanti anda akan beratur berjam-jam, tujuh, lapan, sepuluh jam. Ada yang kelaparan, kepanasan, ada yang tak jumpa tandas.

“Nak cari surau pun susah nanti, parking akan jadi huru hara, menyusahkan peniaga lain, jadi saya tak akan buat.

“Kita terimalah hakikat yang mana at one time, hanya dua ratus orang sahaja boleh masuk, jadi nak ke tak nak kena ada sistem yang kawal benda tu,” jelasnya.

Terdahulu, mengejutkan ramai apabila mengumumkan pembukaan restoran pertamanya ‘Rembayung’ yang dijangka beroperasi mulai Januari tahun depan.

Menerusi satu perkongsian di Instagram, Khairul Aming berkata, projek tersebut adalah antara pelaburan terbesar pernah dilakukannya sepanjang bergelar usahawan dan menelan kos sehingga RM4 juta.

Must-Watch Video

Advertisement