Sekilas
- Penyanyi Azza Elite menegur wanita yang masih memilih untuk bercinta dengan suami orang walaupun sudah tahu lelaki itu beristeri.
- Azza mengingatkan wanita supaya letak diri mereka di tempat isteri yang teraniaya sebelum bertindak ikut perasaan.
- Azza berpendapat tindakan itu bukan ujian, tapi lebih kepada kehendak diri sendiri seperti nafsu dan sikap menggatal.
Penyanyi Azza Elite menegur sikap segelintir wanita yang masih memilih untuk menjalinkan hubungan dengan suami orang meskipun mengetahui lelaki tersebut sudah berumah tangga.
Teguran itu dibuat selepas seorang individu memuat naik hantaran di Threads mengenai jatuh cinta dengan suami orang adalah ujian yang paling berat buatnya:
Tidak berdiam diri, Azza atau nama sebenarnya Azza Azman tampil meninggalkan komen.
“Tak payah nak jatuh cinta dengan suami orang sangatlah. Pilihan banyak.
“Dah tahu orang itu berbini, nak juga dengan suami orang. Suami orang ini nampak kemas sebab isteri dia jaga,” tulisnya.

Menurut penyanyi berusia 47 tahun itu, seseorang wanita seharusnya meletakkan diri mereka di tempat isteri yang berdepan situasi sedemikian sebelum bertindak mengikut perasaan.
“Cuba orang jatuh cinta dengan laki awak, kemudian tulis macam ini, apa perasaan kita?
“Wanita tak payah nak benak otak sangat boleh?” katanya.
Dalam masa sama, Azza berpendapat tindakan tersebut bukan boleh dianggap sebagai ujian semata-mata, sebaliknya lebih dipengaruhi oleh kehendak diri sendiri.
“Lebih kepada menggatal, miang dan paling utama sebab nafsu,” ujarnya.
Sumber: Threads