Sekilas
- Alif Satar memperkenalkan sistem AI bernama IMAN yang membolehkan pengguna membuat tempahan daging melalui WhatsApp tanpa perlu muat turun aplikasi tambahan.
- Sistem IMAN menggabungkan teknologi AI dan ERP untuk mengurus inventori, tempahan, dan pembayaran secara automatik serta menyokong penjejakan rantaian bekalan.
- DAEM merancang pembangunan sumber ternakan pelbagai dan pusat kuarantin di Kelantan sebagai sebahagian daripada pelan lima fasa untuk mewujudkan rantaian farm-to-table yang mampan dan terjamin.
Penyanyi dan usahawan Alif Satar terus mengembangkan cabangnya dalam dunia perniagaan apabila memperkenalkan sistem berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan pengguna membuat tempahan daging hanya menerusi WhatsApp.
Dikenali sebagai IMAN atau Integrated Management Autonomous Network, sistem yang dibangunkan DAEM Sdn Bhd itu dilancarkan sempena MAHA 2026 di MAEPS, Serdang.
Peluncurannya disempurnakan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Isham Ishak serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Mohd Noor Hisham Mohd Haron.
Menurut Alif yang juga pengasas bersama DAEM, penggunaan teknologi tersebut diperkenalkan bagi memudahkan proses pembelian tanpa memerlukan pengguna memuat turun aplikasi tambahan.
“Kita mahu mudahkan pelanggan. Tak perlu aplikasi baharu atau proses yang rumit, WhatsApp sahaja, pilih produk, tempah dan bayar,” katanya.

Menerusi sistem berkenaan, pengguna hanya perlu mengimbas kod QR sebelum berinteraksi dengan IMAN untuk mendapatkan maklumat produk, menyemak inventori, membuat tempahan serta pembayaran.
Di sebalik fungsi AI tersebut, IMAN turut disokong sistem Enterprise Resource Planning (ERP) yang menghubungkan maklumat produk, inventori, tempahan dan operasi syarikat.
Ia sekali gus membolehkan sistem tersebut berfungsi bukan sekadar sebagai ‘chatbot’, sebaliknya berhubung dengan operasi sebenar bagi melaksanakan tempahan pengguna.

Bagi Alif, pengenalan IMAN merupakan kesinambungan daripada konsep trak daging bergerak Meat Nomads yang diperkenalkan pada 2024.
“Fasa pertama kita bawa daging terus kepada pengguna melalui Meat Nomads. Dengan IMAN sebagai fasa kedua, kita bawa pengalaman DAEM terus ke WhatsApp pelanggan,” katanya.
Dalam pada itu, penggunaan teknologi berkenaan turut dirancang untuk membantu proses penjejakan rantaian bekalan dengan menghubungkan data produk, jualan, inventori, gudang serta pemenuhan pesanan.

Bagi kawasan dalam liputan perkhidmatannya, penghantaran disasarkan pada hari berikutnya dengan menggunakan pembungkusan rantaian sejuk.
Pada fasa seterusnya, sistem itu dirancang untuk diintegrasikan dengan penyedia logistik pihak ketiga bagi meningkatkan automasi penghantaran dan penjejakan pesanan.
Tidak hanya tertumpu kepada teknologi, Alif turut mendedahkan perancangan jangka panjang untuk membangunkan sumber bekalan ternakan yang lebih pelbagai di samping memperkukuh penternakan tempatan.
Sebagai langkah awal, sebuah pusat kuarantin ternakan di Pasir Mas, Kelantan yang bakal menyokong kemasukan awal kambing dari Thailand telah menerima kelulusan berkaitan.
“Kita mulakan dengan kambing, bina sumber dari beberapa negara dan pada masa sama bangunkan penternakan tempatan.
“Apabila ekosistem semakin kukuh, kita mahu kembangkan pendekatan yang sama kepada lembu,” katanya.
Perancangan itu merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan lima fasa DAEM ke arah mewujudkan rantaian ‘farm-to-table’ yang lebih terjamin, mampan dan boleh dijejaki daripada sumber ternakan sehingga sampai kepada pengguna.