Sekilas
- Nadiya Nisaa teruja dapat bergandingan semula dengan Datuk Aaron Aziz dalam drama terbaru, Bidadari Tanpa Syurga, selepas kejayaan mereka dalam Adam & Hawa.
- Keserasian antara Nadiya dan Aaron memudahkan proses lakonan kerana mereka sudah lama bekerjasama dan memahami antara satu sama lain.
- Drama ini mengangkat tema konflik rumah tangga yang dianggap Nadiya relevan dan menarik untuk diterokai dalam konteks pengalaman pasangan masa kini.
Pelakon, Nadiya Nisaa meluahkan rasa gembira apabila sekali lagi diberi peluang bergandingan dengan Datuk Aaron Aziz menerusi drama terbaharu, Bidadari Tanpa Syurga.
Menurut Nadiya, dia berasa teruja apabila pihak produksi sekali lagi mempercayai mereka untuk membawakan watak utama selepas kejayaan gandingan menerusi drama popular Adam & Hawa.
"Sudah tentu saya gembira, sangat gembira. Yang menjemput kami dahulu pun Global Station, kali ini pun Global Station juga.
"Jadi saya rasa mereka sudah faham apa yang seterusnya boleh diterokai menerusi watak saya dan Datuk Aaron. Saya harap peminat Adam & Hawa akan terus mengikuti Bidadari Tanpa Syurga untuk melihat sisi lain gandingan kami," katanya kepada Gempak.
Menurut Nadiya, kehadiran Aaron di set penggambaran turut memudahkan proses lakonan kerana mereka sudah mempunyai keserasian yang terbina sejak sekian lama.
Tambah Nadiya, faktor keserasian dengan rakan pelakon serta pengarah memainkan peranan penting dalam pemilihan sesebuah naskhah kerana baginya sesebuah karya masih boleh diolah sepanjang proses penggambaran.
"Sudah tentu lebih mudah sebab ada dia. Saya cuma perlu mengimbau kembali memori ketika kami berlakon bersama dahulu. Jadi saya tak perlu cari semula chemistry itu. Itu antara perkara yang saya selalu lihat apabila menerima sesebuah tawaran, iaitu dengan siapa saya akan digandingkan dan siapa pengarahnya.
"Bukan bermaksud karya itu tidak penting, tetapi saya akan pertimbangkan juga kesesuaian usia, perwatakan dan siapa yang akan bekerja bersama saya. Bila dimaklumkan bahawa Bidadari Tanpa Syurga mengangkat konflik rumah tangga, saya rasa ia sesuatu yang menarik untuk diterokai kerana isu rumah tangga ini tidak pernah habis.
"Sentiasa ada pelbagai konflik baharu yang boleh diketengahkan dan saya harap drama ini dapat mewakili pengalaman hidup pasangan di luar sana," tambahnya.