Sekilas
- Bella Astillah terharu dengan tindakan suaminya, YB Syed Saddiq, yang mempertahankan perkahwinan mereka daripada kritikan orang ramai.
- Bella tidak mengetahui ucapan Saddiq sebelum majlis resepsi dan menghargai sokongan ikhlas suaminya terhadap dirinya dan anak-anak.
- Syed Saddiq anggap pertahanan itu sebagai tanggungjawab dan Bella menerima perhatian sebagai lumrah kehidupan selebriti.
Pelakon, Bella Astillah mengakui terharu dengan tindakan suaminya, YB Syed Saddiq yang mempertahankan dirinya dengan menepis pandangan segelintir pihak bahawa perkahwinan mereka tidak sepadan.
Menurut Bella, dia sama sekali tidak mengetahui ucapan yang bakal disampaikan oleh Syed Saddiq sehingga membuatkan dirinya tersentuh dengan kata-kata yang diluahkan.
“Saya memang tak tahu sebab dia tidak cakap apa ucapan yang dia mahu berikan.
“Saya rasa sangat terharu sebab saya lega ada orang yang sayang saya bersama anak-anak dengan ikhlas dan mempertahankan saya,” katanya.
Bella berkata demikian ketika ditemui selepas majlis resepsi mereka yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) pada Ahad.

Tambah Bella lagi, dia tidak pernah meminta suaminya untuk tampil mempertahankan dirinya secara terbuka malah memahami perkara tersebut sebagai lumrah kehidupan seorang selebriti yang sentiasa menjadi perhatian umum.
“Itu sebenarnya jauh lebih cukup, saya tak pernah terfikir atau meminta YB untuk keluar statement atau pun pertahankan saya sebab saya rasa ini adalah lumrah sebagai seorang selebriti.
“Apa sahaja yang dilakukan akan diperhatikan, jadi saya terima seadaanya. Jadi bila YB hari ini di depan semua orang dia… bukanlah mempertahankan, saya faham dia tak nak saya sedih.
“Saya sangat gembira, terima kasih, terima kasih untuk itu. Alhamdulillah,” jelasnya.
Terdahulu, Syed Saddiq mempertahankan isterinya menerusi ucapan yang menepis pandangan bahawa perkahwinannya dengan Bella tidak sepadan.
Ucapan itu diberikan ketika majlis resepsi perkahwinan mereka pada Ahad.
Malah, Saddiq juga menyifatkan tindakannya itu sebagai satu tanggungjawab untuk mempertahankan isterinya itu.