Sekilas
- Pelawak Achey dan isteri sedang menjalani rawatan IVF dengan harapan mendapat zuriat seperti yang diimpikan.
- Achey memberi semangat kepada pasangan lain yang berjuang mendapatkan cahaya mata agar tidak berputus asa dan terus yakin dengan perancangan Allah.
- Mereka berkahwin sejak 2011 dan mempunyai seorang anak angkat, namun rezeki zuriat sendiri masih belum tiba.
Pelawak, Achey berharap agar usaha dia dan isteri mendapatkan zuriat menerusi rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) kali ini dipermudahkan dan membuahkan hasil seperti yang diimpikan.
Menerusi perkongsian di media sosial, Achey juga turut menitipkan kata-kata semangat buat pasangan lain yang sedang melalui perjalanan sama agar tidak mudah berputus asa dalam usaha mendapatkan cahaya mata.
“Untuk korang yang sedang berjuang mendapatkan zuriat, jom kita bersama jangan pernah berhenti berharap ,usaha dan yakin dengan Allah.
“Bagi kami semoga perjalanan IVF kali ini menjadi asbab hadirnya berita gembira yang selama ini dinantikan,” tulisnya.

Malah, Achey juga percaya setiap usaha, pengorbanan, air mata dan doa yang dititipkan pasti mempunyai hikmah tersendiri, selain mengingatkan orang ramai supaya sentiasa yakin dengan perancangan Allah SWT.
“Ramai yang tertanya dengan keputusannya, apa kami boleh cakap ‘semoga ada rezekinya’ dan kami percaya, setiap usaha, air mata dan doa tidak pernah sia-sia.
“Berjaya atau tidak kita kena yakin Allah ada rencana NYA,” coretnya.
Sebelum ini pada Disember 2022, Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah, 36, memaklumkan isterinya pernah menjalani proses rawatan IVF dalam usaha mereka menimang cahaya mata, namun rezeki belum menyebelahi mereka.
Untuk rekod, Achey dan Nor Hasanah mendirikan rumah tangga pada 2011 dan memiliki seorang anak angkat perempuan bernama Nur Tiara Zinnirah yang dipelihara sejak 2018.