Sekilas
- Pemain bola sepak Faisal Halim telah berbaik semula dengan bekas isterinya, Nur Syazwani Mizuana, pada 9 Disember lalu.
- Peguam Faisal mengesahkan permohonan rujuk akan difailkan di mahkamah dalam masa terdekat.
- Faisal dan Nur Syazwani bercerai talak dua pada 28 November selepas berkahwin sejak 2019 dan mempunyai seorang anak lelaki.
Pemain bola sepak terkenal negara, Faisal Halim sudah merujuk semula dengan bekas isterinya, Nur Syazwani Mizuana Shahril pada 9 Disember lalu.
Berita itu disahkan oleh peguam yang mewakili Faisal iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader.
Menurut Akberdin, pihaknya akan membuat permohonan rujuk di mahkamah dalam waktu terdekat.
"Alhamdulillah, betul Faisal dan bekas isterinya sudah kembali rujuk.
"Saya akan memfailkan permohonan rujuk ini dalam waktu terdekat,"katanya seperti dilapor mStar.
Menurut Akberdin, Faisal dan Nur Syazwani memilih jalan untuk berdamai baru-baru ini selepas masih menyimpan rasa sayang dan ingin membesarkan anak lelaki mereka bersama-sama.
"Soal jodoh ini rahsia Tuhan. Apa-apa boleh berlaku.
"Saya tumpang gembira apabila Faisal memaklumkan dia sudah kembali bersama bekas isterinya.
"Selama ini pun dia sangat mencintai isteri dan anaknya. Kita doakan semoga rumah tangga mereka kekal bahagia,"katanya.
Pada 28 November lalu Faisal dan Nur Syazwani sah bercerai talak dua di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor.
Akberdin berkata, mahkamah mengesahkan terdapat dua kali lafaz cerai yang dilakukan oleh pemain bola itu iaitu pada 11 Jun dan 10 November tahun ini.
Untuk rekod, Faisal dan Nur Syazwani mendirikan rumah tangga pada 9 Mac 2019 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Khalish Aryan.
Sumber: mStar