Penyanyi, Aisha Retno memaklumkan dirinya kini dalam keadaan stabil selepas berdepan dengan serangan panik ketika berada di program Talk To My Manager (TTMM) pada Ahad.
Menerusi satu hantaran di Instagram Story, Aisha atau nama lengkapnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam dia kini sedang berehat di rumah untuk berehat.
“Alhamdulillah, saya tidak berada di hospital atau apa-apa kerana saya menolak untuk pergi. Keadaan saya sekarang semakin baik walaupun masih belum sepenuhnya pulih.
“Pengsan secara tiba-tiba dan sedikit serangan panik itu hanya berlaku untuk beberapa jam sahaja dan kini saya sudah boleh sedar sedikit walaupun belum berada dalam keadaan normal sepenuhnya,” katanya.
Dalam pada itu, pelantun lagu Semoga Saja itu turut memohon maaf kerana tidak dapat membalas mesej yang diberikan kepadanya buat sementara waktu.
“Saya sedang berehat sekarang. Maaf kerana belum mampu membalas semua mesej kalian yang sangat prihatin buat masa ini, tapi insya-Allah saya akan cuba balas bila sudah sedikit sihat untuk bangun dan berjalan nanti,” ujarnya.
Aisha turut meluahkan rasa bangga dan berterima kasih kepada rakan duetnya Marsya Qistina selepas berjaya meraih kemenangan pada malam tersebut.
Advertisement
“Alhamdulillah, tahniah untuk kemenangan Marsya! Satu penghormatan dapat berkongsi pentas kemenangan bersamamu malam itu. Saya seronok sangat bekerjasama dengan Marsya, dia sangat berbakat, mudah dibimbing dan sangat merendah diri. Benar-benar bintang sedang menyinar.
“Doakan kesihatan Aisha ya, dan saya juga doakan kesihatan yang baik untuk semua yang menonton. Kesihatan memang keutamaan. Terima kasih dan selamat malam,” tambahnya.
Gempak juga cuba mendapatkan perkembangan terkini daripada Aisha namun diminta untuk diberikan ruang kepada penyanyi itu.